UMNO bersama Barisan Nasional yang menguasai politik negara sejak Malaya merdeka selama lebih 60 tahun akhirnya tersungkur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun, walaupun tewas kuasa, hegemoni Umno masih kukuh di sanubari majoriti rakyat, khususnya di kalangan orang Melayu.
Kemenangan Pakatan Harapan (PH) belum mengubah kesan hegemoni budaya ini.
Hegemoni budaya bermaksud penguasaan terhadap minda masyarakat melalui cara lembut dan halus tanpa paksaan.
Sejak awal lagi, melalui institusi keluarga, agama, sekolah dan persatuan, rakyat diajar untuk menerima bahawa ideologi, kepercayaan dan amalan kelas pemerintah merupakan jalan yang betul dalam kehidupan seharian.
Apabila Lim Guan Eng selaku menteri kewangan mengeluarkan kenyataan media dalam Bahasa Melayu yang disertakan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, ia dijadikan isu yang dituduh sebagai meremehkan bahasa kebangsaan.
Walaupun Guan Eng menjelaskan Bahasa Melayu sentiasa digunakan untuk urusan rasmi manakala bahasa-bahasa lain hanya sebagai terjemahan, ia tidak masuk ke dalam benak orang yang membuat tohmahan terhadapnya.
Dalam hal ini, realiti politik (baca: kepercayaan dan kehendak kaum majoriti) telah menjadi amalan politik, sosial, ekonomi, budaya, pendidikan dan pelbagai lagi di Malaysia.
Fakta menjadi tidak penting berbanding amalan-amalan yang dicipta sejak lebih 60 tahun lalu.
Ini menunjukkan hegemoni Umno masih kuat terlekat pada minda sesetengah kalangan rakyat. Sedangkan Guan Eng tidak melanggar apa-apa peraturan, malah undang-undang membenarkannya.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi dengan memberi jaminan hak terjemahan. Seksyen 3 Akta tersebut menjelaskan:
“Tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak kerajaan persekutuan atau hak kerajaan mana-mana negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.”
Satu lagi contoh berkaitan dengan jawatan perdana menteri. Sebenarnya mana-mana rakyat Malaysia yang layak boleh menjadi perdana menteri, tidak kira sama ada beliau lelaki atau perempuan, Melayu atau bukan-Melayu, dan beragama Islam atau agama lain.
Yang disyaratkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah perdana menteri mestilah warganegara Malaysia yang merupakan ahli Parlimen, yakni secara khususnya seorang anggota Dewan Rakyat, dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Dengan itu, mengikut undang-undang tertinggi di Malaysia, seorang rakyat Malaysia daripada kaum India, Cina, Kadazandusun, Iban dan banyak lagi menjadi perdana menteri.
Namun, realiti politik telah mengajar yang tiada siapa daripada kaum-kaum bukan-Melayu dan penganut agama-agama lain menuntut jawatan perdana menteri.
Sebelum PRU14, heboh dengan fitnah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika PH menang. Kini, ia terbukti bohong semata-mata.
Kit Siang bukan sahaja tidak menuntut menjadi perdana menteri, malah menolak jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Malah, kedudukan DAP dalam Kabinet biasa-biasa sahaja walaupun ia memperolehi 42 kerusi Parlimen yang agak banyak berbanding parti-parti komponen PH.
DAP yang berideologikan sosial demokrasi serta berprinsipkan demokrasi, keadilan, kebebasan dan hak asasi terpaksa menerima hakikat realiti politik ini.
Ia sedar kebanyakan perkara yang dilakukannya tidak menjadi kesalahan pun tetapi mungkin kerana namanya DAP dan dikaitkan pula parti dengan kaum Cina, maka ia menjadi sasaran oleh pelampau kaum.
Apabila diserang sedemikian, sesetengah golongan sederhana dan liberal di kalangan Melayu juga takut dengan keadaan itu. Akhirnya yang disuruh tutup mulut bukannya pelampau kaum tetapi DAP pula yang dipaksa diam.
Dalam menangani hegemoni budaya ini, nasib DAP tidak ubah seperti timun dan durian, yakni menggolek rosak, digolek binasa.
Namun hidup tidak selalunya suram. Sudah ada suara-suara dalam kalangan orang Melayu yang mempertahankan DAP atas prinsip berani kerana benar. Walaupun jumlah mereka kecil, ia mencerminkan ada potensi untuk perubahan.
Mungkin suatu hati nanti suasana akan berubah. Sementara menanti saat itu, ahli dan pimpinan DAP perlu banyak bersabar.
Seperti parti-parti lain, DAP bukan parti suci tetapi dalam banyak-banyak yang ada, ia lebih berprinsip dan cekal dalam perjuangannya berbanding yang lain. Kerana sudah membina rumah di tepi pantai, pimpinan dan ahli DAP perlu berani dan reda dilambung ombak, termasuk ribut taufan yang bergelar hegemoni Umno itu.
Masih ramai kalangan rakyat yang belum bersedia menghadapi kenyataan untuk mengubah keadaan ke arah yang lebih adil dan saksama. Sudah tentu untuk mengubah realiti politik dan persepsi, ia memerlukan masa.
Malah, ia memerlukan iltizam dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, untuk memecahkan tembok hegemoni budaya yang mengongkong minda.