Pasca demo ICERD: Malaysia perlu keluar dari perkauman kolot – Pelabur
Pelabur asing bimbang mengenai suasana politik Malaysia yang dilihat masih kolot dengan semangat perkauman sempit pasca himpunan anti-ICERD, 8 Disember lalu.
Seorang pelabur, Jameson Tan yang mempunyai kilang di Sungai Buloh, Selangor, berpendapat kewujudan parti perkauman Melayu seperti Pas dan Umno yang membangkitkan semangat nasionalisme sempit tidak akan digemari pelabur. Tindakan mereka menganjurkan perhimpunan yang mempertikaikan kaum lain dianggap menggugat ketidakstabilan negara.
“Saya perhatikan lebih 50 peratus orang Melayu masih menyokong Umno atau Pas. Situasi ini bukanlah satu situasi yang baik sebab ini menunjukkan bahawa Malaysia dibelenggu oleh isu perkauman.
“Kalau Malaysia tidak keluar dari zaman yang kolot ini, maka Malaysia tidak akan digemari oleh ramai pelabur asing,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Jameson bagaimanapun gembira kerana tunjuk perasaan hujung minggu lalu tidak mencetuskan kekecohan yang boleh mengurangkan keyakinan komuniti kewangan ke atas Malaysia
“Mujurlah Perhimpunan Anti-ICERD pada 8 Disember lalu diadakan dalam suasana aman-damai. Golongan usahawan pada mulanya ada rasa bimbang kalau mungkin akan tercetus perkara yang tidak diingini.
“Yang penting sekarang ialah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bekerja keras untuk memberi lebih maklumat mengenai Belanjawan 2019 kepada masyarakat Melayu sebelum mereka berfikir mereka telah dipinggirkan dalam Belanjawan tersebut. Hal ini mampu menjadi satu isu perkauman kerana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah dari parti DAP, iaitu sebuah parti yang masih dibenci oleh ramai orang Melayu,” kata beliau lagi.
Dari perhatian beliau, Jameson berpendapat masyarakat Melayu amat dipengaruhi oleh Umno dan Pas dalam isu-isu kewangan dan ekonomi.
Beliau juga berharap Kerajaan PH akan berusaha mengikis imej ‘Malaysia adalah sebuah negara yang rasis’ yang kini digambarkan oleh beberapa pihak antarabangsa akibat dari langkah Kerajaan PH tidak menandatangani ICERD.
“Walaubagaimanapun, tindakan Kerajaan PH adalah betul dan tepat kerana kalau Kerajaan PH menandatangani ICERD, tentu Malaysia akan mengalami huru-hara,” tambah Jameson yang berpandangan bahawa pada ketika ini terlalu banyak masa telah diluangkan untuk mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh isu perkauman sehingga ekonomi Malaysia sudah jatuh merudum sedikit sejak bulan November lalu.
Bagi Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong pula, katanya pemimpin BN perlu menjelaskan isu kewangan kepada rakyat kerana kerosakan ekonomi dilakukan parti itu sejak bertahun lalu.
“Pemimpin-pemimpin BN patut memberi penerangan yang terperinci berkenaan isu kewangan negara semasa mereka mentadbir kerana masalah ekonomi yang sedang dialami sekarang adalah hasil dari kegagalan pentadbiran dibawah pimpinan Najib Razak.
Wang rakyat yang telah ‘lesap’ juga mesti diberi-balik kepada Kerajaan PH dan rakyat Malaysia oleh mana-mana pihak yang telah ‘melesapkan’ wang itu,” katanya.