Nurul Izzah tidak berhak letak jawatan – Otai Reformis
Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar didakwa tidak berhak melepaskan jawatan kerana itu boleh dianggap sebagai tidak menghormati suara ribuan anggota PKR yang mengundinya baru-baru ini.
Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, S Jenapala, berkata tindakan Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden memang tidak boleh diterima.
“Kalau beliau nak letak jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang, tak ada masalah sebab ia adalah jawatan lantikan.
“Tetapi, jawatan naib presiden adalah pilihan anggota PKR. Beliau tidak berhak meletak jawatan walau apa juga alasan yang diberi,” katanya kepada pemberita di sidang media di Kuala Lumpur, petang tadi.
Nurul Izzah yang juga anak pasangan presiden PKR dan timbalan perdana menteri membuat kejutan semalam apabila mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan sebagai naib presiden.
Tokoh yang muncul selepas bapanya Anwar Ibrahim disingkirkan dari kerajaan dan parti pada 1998 itu juga meletak jawatan dalam kerajaan.
Untuk rekod Nurul Izzah dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).
Bagaimanapun dia kekal sebagai anggota biasa PKR dan wakil rakyat bagi kawasan parlimen Permatang Pauh.
Pelbagai pihak menyatakan rasa kesal atas tindakan Nurul Izzah itu namun dia tetap bertegas untuk tidak berpaling dari keputusan tersebut.
Jenapala berkata dia bersama beberapa yang lain mewakili anggota PKR berbangsa India menggesa Nurul Izzah segera menarik balik keputusan berkenaan.
Katanya pengorbanan Nurul Izzah kepada PKR terlalu banyak sejak menyertai politik pada zaman remajanya.
Sejak itu kata Jenapala Nurul Izzah berdepan pelbagai rintangan dan tekanan sebelum menjadi anggota parlimen.
“Bukan kami yang minta beliau bertanding ke jawatan naib presiden. Beliau yang menawarkan diri dan kami menyokongnya.
“Sekarang nak letak jawatan – itu tidak adil. Bagi, kami ia satu penderhakaan kepada anggota parti yang menyokong beliau,” katanya.
Seorang lagi yang sependapat dengan Jenapala ialah Micheal Tamil yang menjadi salah seorang calon naib presiden dalam pemilihan baru-baru ini.
Katanya keputusan Izzah semalam adalah sangat mengejutkan dan menyedihkan.