Najib jangan politikkan harga minyak RM1.90 seliter!
Bekas PM Najib Razak diingatkan jangan bermain politik kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai ke atas petrol RON 95 sebanyak 30 sen.
Menurut Najib, harga pasaran semasa bagi RON 95 sepatutnya sekitar RM1.90 berikutan harga minyak mentah dunia menjunam AS$50 setong berbanding AS$70 setong selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu.
Sehubungan itu, Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad menempelak Najib. Ujarnya, bekas PM itu tidak layak menjadi jaguh membela harga minyak kerana beliaulah yang menghapuskan subsidi bahan api tersebut dan hanya dikembalikan semula selepas PH menang. Harga RON 95 ditetapkan RM2.20 selepas PRU Mei lalu dengan subsidi 20 sen.
“Najib tidak perlu cakap pasal harga minyak sebab masa dia jadi Perdana Menteri, harga RON95 pernah mencecah RM2.35 seliter sehingga hampir RM2.38 seliter kalau tak silap saya.
“PH menang, Menteri Kewangan umumkan harga RON95 kekal pada RM2.20 seliter sehingga hujung tahun ini.
“Kalau kita tengok graf indeks minyak mentah Brent, harga minyak di pasaran antarabangsa dari 18 Oktober hingga 31 Oktober misalnya antara AS$70 ke AS$85 setong.
“Sepanjang tahun ini harga minyak tinggi Dari bulan Julai hingga ke Oktober 2018 harganya adalah lebih daripada AS$70 setong dan adakala mencecah AS$85 setong.
“Justeru itu, kalau harga RON95 tidak ditetapkan pada RM2.20 seliter, tentu rakyat terpaksa bayar lebih,” tegasnya kepada Suara Pakatan Daily.
Sementara itu, tinjauan wartawan Suara Pakatan Daily ke atas 45 orang pengguna petrol di sekitar ibu negara sejak 23 Disember lalu mendapati majoriti yang ditemuramah memberi respons yang sama dan boleh dirumuskan sebagai berikut:
“Hutang negara tinggi. Rakyat tidak boleh buat apa-apa.
“Kita rela membayar 30 sen.
“Kalau BN menang pada 9 Mei lalu, tentunya harga tinggi juga, bahkan mungkin lebih tinggi lagi”.