Demonstrasi gugat keamanan mula bimbangkan pelabur
Himpunan di kuil Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya yang bertukar menjadi rusuhan ganas dan demonstrasi bagi meniup semangat perkauman Melayu menolak ICERD yang akan dianjurkan pada 8 Disember ini mula menggusarkan pelabur asing.
Seorang pelabur yang memiliki kilang di kawasan perindustrian Sungai Buloh, Selangor, Jameson Tan berkata himpunan-himpunan yang dianjurkan mungkin bermatlamat untuk mengoyahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) da ianya memberi isyarat tidak baik kepada sektor kewangan Malaysia.
“Saya berpendapat ada puak yang ingin menggunakan isu perkauman untuk menumbangkan Kerajaan PH dan kalau perkara ini tidak ditangani dengan serius, ia akan membawa malapetaka kepada Malaysia.
“Saya berharap sesiapa sahaja yang mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mana-mana kaum patut ditangkap dan dipenjarakan sebagai satu teladan kepada semua orang bahawa Kerajaan PH akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang berniat mengganggu keharmonian di antara kaum.
“Perkara ini adalah penting memandangkan Kerajaan PH masih baru dan perlu meyakinkan lain-lain negara bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang melayan semua bangsa secara adil,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau menambah bahawa apa sahaja himpunan yang mempunyai kaitan dengan isu agama atau kaum adalah ‘demo’ yang tidak sihat. Walaupun ada kebebasan bersuara diberikan kepada semua pihak, namun kebebasan itu tidak boleh diberi untuk tujuan menyinggung perasaan kaum lain di Malaysia.
“Setakat ini, saya rasa Kerajaan PH belum cukup tegas dan masih ada ramai pemimpin atau ahli-ahli parti politik tertentu yang gemar mengeluarkan kata-kata kesat dan rasis yang menyinggung perasaan kaum lain termasuk kata-kata atau ugutan untuk membunuh,” sambung Jameson yang sedikit kecewa dengan tindakan lembab Kerajaan PH.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad kurang bersetuju terhadap pandangan kerajaan PH lemah dalam menangani isu hubungan kaum.
Katanya tindakan polis menahan ahli Majlis Tertinggi Umno, Papagomo adalah bukti kerajaan serius menangani isu perkauman.
“Tindakan polis menangkap Papagomo adalah betul dan tepat sekali.
“Sesiapa yang membangkitkan isu perkauman mampu menjejaskan kestabilan dan ekonomi serta memusnahkan semangat muhibbah di antara kaum. Orang sebegini wajar disenyapkan serta-merta.
“Saya juga ingin menggesa semua rakyat Malaysia bersatu membina negara baru supaya kita dapat mengekalkan suasana aman-damai yang sedia ada sekarang ini,” katanya.