BN semakin genting, Melayu bersatu di dalam PH
Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menyifatkan BN yang berkuasa sejak 61 tahun lalu dalam keadaan genting apabila 17 ahli parlimen Umno setakat ini telah meninggalkan parti itu.
Malah, MCA tidak lagi sehaluan dengan Umno dan pemimpin mereka telah tidak menghadiri perhimpunan agung Umno. MCA juga akan menulis surat kepada BN agar pakatan politik itu dibubarkan untuk membentuk pakatan baharu.
“Dari peristiwa beberapa hari sejak kebelakangan ini, sudah jelas bahawa BN (tinggal UMNO, MCA dan MIC) sedang berada dalam keadaan yang amat genting.
“Ramai ahli Umno tidak mahu berada dalam bahtera BN selain dari parti MCA yang telah mencadangkan adalah lebih baik BN dibubarkan.
“Ini membuktikan pembangkang sudah tiada halatuju dan telah hilang matlamat,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu juga menyeru orang Melayu agar bersatu di bawah payung Pakatan Harapan (PH) untuk menjaga hak mereka dan meningkatkan kemajuan.
Katanya, adalah salah tohmahan pembangkang kononnya PH tidak mengindahkan hak istimewa orang Melayu.
“Ini dibuktikan apabila Kerajaan PH tidak menandatangani ICERD dan tidak mahu mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Kerajaan PH akan membina satu negara yang adil dan saksama di mana hak semua rakyat akan dijaga.
“Selain dari itu, saya juga meminta masyarakat Melayu untuk membuka mata dan minda supaya sedar bahawa banyak penyelewengan telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN semasa zaman pentadbiran Najib Razak dan justeru itu, kerajaan PH hari ini terpaksa berusaha sedaya-upaya untuk membaikpulih semua institusi negara yang mengalami masalah.
“Ini bererti sokongan padu dari semua golongan terutama masyarakat Melayu diperlukan supaya negara boleh bergerak maju.
“Lihatlah sekarang, pemimpin-pemimpin dari parti mana yang sedang didakwa di mahkamah atas tuduhan penyelewengan wang dan penyalahgunaan kuasa,” tambah Nizar.