Perkembangan politik dalaman PH membimbangkan?
Meskipun telah lebih 6 bulan menerajui kepimpinan negara namun arus politik dalaman parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) agak membimbangkang.
Tinjauan pendapat dari seorang pelabur asing yang mempunyai kilang di Sungai Buloh, Selangor, Jameson Tan mengesahkannya. Beliau memberi komen terhadap parti yang paling muda dalam koalisi PH, iaitu Bersatu yang menurutnya masih mempertahahankan DNA Umno dalam kalangan ahli serta pimpinan parti berkenaan
“Kalau mereka memegang jawatan penting dan masih berfikiran ala-Umno maka susah untuk Malaysia maju ke depan.
“Juga dalam urusan dengan pejabat-pejabat kerajaan, saya mendapati ramai penjawat awam yang masih menyokong regim lama (BN) dari tingkah-laku mereka membuat kerja.
“Sejurus selepas kemenangan PH pada 9 Mei 2018, ada penjawat awam yang bermuka masam. Ini membuktikan mereka adalah penyokong BN.
“Saya harap mereka akan mengubah pendirian tetapi nampaknya ia akan memakan masa yang lama walaupun Kerajaan PH telah memberi banyak ganjaran dan bantuan kepada rakyat terutamanya penjawat awam seperti yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2019,” kata Jameson kepada Suara pakatan daily.
Jameson menambah, sebagai parti yang mentadbir negara, Bersatu mesti bertindak lebih progresif, adil dan telus dalam semua urusan sebab layanan yang adil mesti diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap proses pemilihan PKR yang telah berakhir akan menyaksikan semua pihak bekerjasama dan berganding bahu demi kebaikan negara.
“Nyata ada 2 puak dalam PKR iaitu pihak yang menyokong Azmin Ali dan pihak yang menyokong Rafizi Ramli. Kalau Rafizi tidak menang, saya berharap beliau akan diberi peranan yang besar dalam PKR kerana kerja yang beliau buat sebagai pengasas ‘Invoke’ telah banyak membantu PH meraih kemenangan dalam PRU14 dan ini menunjukkan beliau bijak membuat tinjauan dan kajian.
“PKR dan Bersatu kini tulang belakang PH dan kalau ada perselisihan faham dalam politik dalaman parti-parti tersebut maka ini adalah sesuatu hal yang tidak baik untuk masa depan negara dan koalisi PH.
“Justeru, saya harap untuk kesempurnaan pentadbiran, parti-parti ini mestilah stabil supaya boleh memainkan peranan yang baik dalam urus-tadbir negara,” kata Jameson lagi.