PRK PD bukti rakyat mahu gandingan Mahathir – Anwar
Kemenangan bergaya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson semalam dengan majoriti 23,560 undi menewaskan pesaing terdekat, Mohd Nazari Mokhtar dari Pas yang mendapat 7,456 undi, merupakan mandat besar dari rakyat tanpa mengira kaum.
Keputusan itu juga menaikkan semangat ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) dan kabinet Tun Mahathir yang dikritik hebat oleh BN dan Pas sejak kebelakangan ini kononnya tidak menunaikan janji pilihan raya umum ke 14.
Bagi Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, keputusan itu jelas membuktikan rakyat masih memberi peluang kepada kerajaan PH membuktikan keupayaan mereka memperbaiki keadaan ekonomi dan pentadbiran negara.
“Keputusan itu membuktikan pengundi di Port Dickson dari semua lapisan masyarakat menyokong Anwar Ibrahim dan Kerajaan Pakatan Harapan.
“Pengundi Port Dickson juga menunjukkan mereka setuju dengan pelan PH untuk Anwar menjadi Ahli Parlimen semula selain dari mengambil-alih jawatan Perdana Menteri selepas persaraan Tun Dr. Mahathir Mohamad nanti.
“Sokongan penuh rakyat untuk Kerajaan PH akan memberi semangat dan mendorong kami untuk meneruskan kerja urus-tadbir kerajaan dengan ikhlas dan penuh amanah,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu kepada Suara pakatan daily.
Menurut Dr Lee lagi, sokongan rakyat amat penting supaya kerajaan boleh memberi tumpuan penuh kepada masalah ekonomi. Katanya, keputusan itu juga jelas menunjukkan rakyat mahu mencuba kembali gandingan Mahathir – Anwar yang telah membawa kejayaan kepada Malaysia dalam era 1990an dulu.
Bagi Albert Kwok pula seorang usahawan hartanah pula, kemenangan Anwar akan membolehkan beliau mengambil peranan lebih aktif dalam pentadbiran negara selain dari memberi idea kepada kerajaan untuk membangunkan keadaan ekonomi dan situasi kewangan Malaysia yang masih berada dalam keadaan yang lembab