‘Menang majoriti kecil susah, ada mau potong kaki’
Calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Anwar Ibrahim merayu kepada masyarakat Cina untuk menggesa pengundi di luar kembali ke kampung halaman untuk mengundi esok.
Bakal presiden PKR itu berkata daripada 40% pengundi di luar Port Dickson, 50% daripadanya pengundi Cina yang bekerja di negeri lain, ada yang sejauh Johor dan Singapura.
Maka, beliau meminta keluarga dan rakan mereka yang tinggal di luar untuk pulang mengundi.
“Jika mereka tidak pulang, jumlah pengundi kita akan jatuh. Jadi saya minta bantuan anda, panggillah mereka balik mengundi.
“Kira-kira 60% pengundi Cina ada di luar dan India 55%. Itu sebabnya kita perlu cari jalan. Jika anda ada masalah, beritahu kami. Kami akan selesaikan.
“Malam ini, jangan tidur selagi tidak beritahu anak dan adik-beradik. Telefon mereka dan tanya apa masalahnya.
“Kalau ada masalah, beri nombor telefon mereka. Anda janji?,” kata Anwar di hadapan khalayak di Kampung Baru Tanah Merah malam tadi.
Kebanyakan khalayak yang terdiri daripada masyarakat Cina, bertepuk tangan dan menjerit “Janji”.
Bekas timbalan perdana menteri itu kemudian berkata kemenangannya sudah pun jelas tetapi ia bergantung pada banyak undi akan dimenanginya.
“Jangan ambil ringan. Ramai orang beritahu saya ‘jangan risau Datuk, kita dah menang’. Itu betul tetapi saya bukan hanya mahu jadi ahli Parlimen.
“Ini Port Dickson, seluruh Malaysia sedang melihat, malah seluruh dunia,” kata Anwar.
Anwar menekankan majoriti besar akan menjadikan mandatnya sebagai perdana menteri kuat.
“Kalau saya menang dengan majoriti kecil, akan susah. Tidak semuanya kawan saya, tidak semua menyokong saya. Ada yang menanti nak potong kaki saya,” katanya.
Anwar bertanding dalam tujuh penjuru di kerusi Parlimen itu. Beliau melawan lima calon bebas – Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen – dan calon PAS, veteran tentera udara Mohd Nazari Mokhtar.
Kerusi Port Dickson kosong selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah, daripada PKR meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar, kembali ke Parlimen.
Pada PRU14, Danyal memperoleh 36,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional, Mogan Velayatham dan Mahfuz Roslan daripada PAS, yang masing-masing menerima 18,515 dan 6,594 undi. –