‘Anwar akan bawa Port Dickson ke taraf antarabangsa’ – Ir Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad menyeru agar pengundi di pilihan raya kecil Port Dickson bijak memilih pemimpin yang akan mewakili mereka ke Dewan Rakyat.
Menurut beliau, hanya pemimpin dari kalangan Pakatan Harapan yang mampu membawa pembangunan di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang bagi mengorak langkah sebagai Perdana Menteri ke – 8.
“Walaupun semua calon PRK Port Dickson berharap untuk menang, namun rakyat bijak menilai dan saya yakin tentu Anwar boleh menang memandangkan Port Dickson ialah jalan untuk Anwar ke Putrajaya sebagai Ahli Parlimen dan seterusnya PM yang ke-8.
“Yang penting sekarang para pengundi di Port Dickson harus tahu dan yakin Anwar boleh membawa pembangunan dan memberi suntikan dana yang besar untuk memajukan bandar perlancongan bagi menjadi tempat peranginan bertaraf antarabangsa dan terkenal di serata dunia,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berpendapat walau bagaimana canggih dan berwibawa pun tawaran calon-calon selain Anwar, manifesto mereka tidak akan dapat menandingi Anwar untuk membawa pembaharuan ke Port Dickson dan seluruh Malaysia dalam mengharungi dekad-dekad akan datang.
“Malaysia perlu bangkit semula dari zaman pentadbiran Najib yang telah membenamkan ekonomi dengan skandal 1MDB. Isu penyelewengan wang yang telah berlaku melalui 1MDB dan tersebar di beberapa negara di dunia termasuk Amerika Syarikat telah merugikan imej negara selain mengakibatkan kehilangan keyakinan terhadap Kerajaan Malaysia.
“Justeru, PRK Port Dickson bukan sahaja menentukan masa depan kawasan itu tetapi juga masa depan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Khalid berharap pengundi di Port Dickson tidak akan terpesong atau dikelirukan oleh hujah calon-calon lain sepanjang kempen tetapi memberi tumpuan penuh kepada matlamat dan pelan Pakatan Harapan untuk terus mentadbir negara secara yang lebih baik.
“Ada kesinambungan yang patut diteruskan untuk rakyat menikmati masa depan yang cerah dalam negara yang kaya dan banyak potensi seperti Malaysia,” akhiri Khalid.