Tun Mahathir setuju ‘Langkah PD’ – Anwar
Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan pemimpin parti dan pengkritik yang persoal tindakan parti dalam membuat keputusan bagi beliau bertanding di kerusi Port Dickson.
Walhal, perkara itu sudahpun dipersetujui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membolehkan beliau kembali ke Parlimen, katanya dalam satu ucapan di Melaka pada malam tadi.
“Dua hari lalu selepas balik dari Hong Kong saya telefon (Dr Mahathir) dan saya kata Insya Allah saya ambil kawasan Port Dickson setelah Datuk Danyal Balagopal Abdullah (penyandang) letak jawatan.
“Dia kata ‘OK’. Yang kamu (pengkritik) sibuk kenapa? Tak jadi masalah. Nak bangkitkan apa lagi?” katanya seperti dipetik dalam laporan portal FMT.
Beliau menjawab rungutan pemimpin parti yang mempersoalkan tindakan parti dalam membuat keputusan untuk beliau bertanding di situ.
Beberapa pemimpin PKR yang diketahui bersekutu dengan Azmin mempersoalkan pemilihan kerusi itu dan mendakwa perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh jawatankuasa pusat parti atau biro politik.
Azmin hari ini berkata parti perlu memberi perhatian ke atas rungutan kalangan pemimpin tersebut yang tidak yang tidak berpuas hati dengan cara kerusi dikosongkan untuk presiden parti.
Bagaimanapun beliau tetap meminta anggota parti bersatu untuk memastikan kemenangan Anwar di kerusi tersebut.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa Anwar menyatakan sama ada keputusan itu dibuat dengan persetujuan kepimpinan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tiada mesyuarat rasmi diadakan untuk membincang atau memaklumkannya kepada semua pemimpin parti yang Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil atau sesiapa mengosongkan kerusi bagi tujuan itu.
Ahli majlis kepemimpinan parti pusat Latheefa Koya mempersoalkan mengapa keputusan itu dibuat “secara rahsia” tanpa perbincangan dalam biro politik parti atau jawatankuasa pusat.
Saifuddin semasa mengumumkan langkah itu berkata, keputusan Danyal mengosongkan kerusi Port Dickson untuk Anwar dibuat pada mesyuarat biro politik parti.