Sokongan kepada Azmin di Selangor mulai pecah
Penolong Setiausaha AMK Pusat, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa sokongan akar umbi parti itu di Selangor terhadap pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin dijangka berpecah.
“Kegagalan mereka mengurus tadbir perjalanan parti di peringkat negeri dengan adil menyebabkan ramai anggota akar umbi tidak berpuas hati.
“Hasil tinjauan saya terhadap 22 cabang Keadilan di Selangor mendapati rata-rata anggota akar umbi menyifatkan Azmin gagal berlaku adil khususnya dalam pembahagian jawatan-jawatan lantikan politik,” kata Syed Badli dalam suatu kenyataan hari ini.
Selain itu bekas ketua AMK Selangor itu juga mendakwa Zuraidah memainkan peranan mencantas individu yang dilihat sebagai tidak sependapat dengan Azmin.
“Keadaan ini bertambah buruk dengan peranan yang dimainkan oleh timbalan pengerusi negeri YB Zuraidah Kamarudin, untuk tidak meraikan dan mencantas mereka yang dilihat tidak sependapat dengan Azmin.
“Rata-rata mereka yang masih menyokong gandingan Azmin dan Zuraidah adalah mereka yang berkepentingan dan mendapat manfaat secara langsung seperti jawatan lantikan politik,” katanya.
Syed Badli juga mendakwa pemilihan PKR kali ini menyaksikan 20 daripada 22 cabang parti itu di Selangor berlaku pertembungan untuk jawatan ketua cabang.
“Hampir semua penyandang yang pro kepada Azmin dan Zuraidah dicabar oleh calon dari akar umbi.
“Keadaan ini berlaku berikutan akar umbi berasa tidak puas hati dengan gaya kepimpinan Azmin dan Zuraidah,” katanya lagi.
Semalam, penyandang timbalan presiden PKR itu meminta anggota parti tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada parti yang didokongnya selama ini.
Beliau berkata ada pihak tertentu yang membuat dakwaan liar konon dirinya tidak setia kepada parti terutama menjelang pemilihan parti tersebut.
Terdahulu, calon naib presiden, PKR Zuraida berkata beliau memilih untuk mengabaikan serangan kepadanya dan pihak yang bersama dengan Azmin.
“Tak apalah itu cara dia. Kalau begitu cara dia berkempen, jadi itu tidak matang.
“Saya lebih suka mengamalkan politik matang, jadi tak apalah, kami akan abaikan sesiapa yang tidak matang,” katanya.
Sabtu ini, seramai 105,056 anggota PKR layak untuk mengundi pada pemilihan parti itu yang bermula di dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang.
Pemilihan peringkat Selangor akan diadakan pada 13, 14 dan 21 Oktober ini. –