PRK PD: Pencabar Anwar hanya rebut undi pembangkang
Ternyata kenyataan lebih ramai, lebih bagus, terpakai untuk bakal presiden PKR Anwar Ibrahim, berhubung jumlah calon yang mencabarnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Penganalisis berkata enam calon lain yang akan bertanding pada PRK itu mungkin memudahkan lagi kepulangannya ke Parlimen.
“Daripada sudut pertandingan, lebih ramai melawan Anwar, lebih baik keputusan untuknya nanti. Calon bebas tidak akan berjaya,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian.
PRK pada 13 Oktober depan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru dengan lima calon bebas – Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen. Calon lain ialah daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar, seorang pesara tentera udara.
Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre berkata tidak ada seorang pun calon bebas itu dijangka memberi ancaman sebenar kepada Anwar.
“Calon bebas tidak akan dapat memberi impak besar kepada Anwar, dan akan hanya bertindak sebagai satu kepastian yang beliau tidak menang mudah dalam PRK itu.
“Satu-satunya yang akan memberi persaingan ialah Isa kerana beliau calon tempatan,” katanya.
Ibrahim berkata Isa yang juga bekas orang kuat Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan, akan menjadi pesaing serius jika bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
“Tetapi memandangkan beliau calon bebas dan tanpa sokongan rasmi Umno, ia mungkin bermakna keupayaannya menarik undi akan terbatas,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insight.
Profesor Madya Mohd Faisal S. Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata trend mengundi di Port Dickson tidak akan berubah berbanding PRU14, dan pertandingan banyak penjuru hanya bertujuan memecahkan undi pembangkang.
Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi dengan 42% Melayu, 33% Cina dan 22% India di lima kerusi dewan undangan negeri – Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Sri Tanjung dan Linggi.
Calon PH untuk PRU14 Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi itu dengan 36,225 menewaskan calon BN, V. Mogan, yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan, menerima 6,594 undi.
Faisal berkata berdasarkan kepada analisis oleh Merdeka Centre, lebih 90% undi Cina dan kira-kira 84% undi India untuk PH pada PRU14, 9 Mei lalu.
“Undi Melayu pula, hanya 22% untuk PH, 41% kepada BN dan 30% untuk PAS. Undi bukan Melayu yang bantu PH.”
Ibrahim dari Merdeka Centre berkata keputusan Umno menjauhi PRK itu sangat “menarik”, dan berkolerasi dengan keterbukaan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamid dengan PH, baru-baru ini.
Zahid berkata Umno bebas untuk berbincang dengan mana-mana parti “sama ada di luar BN, atau sama ada mereka dulu bersama BN dan sekarang tidak lagi dengan BN”.
Keputusan Saiful Bukhari untuk melawan Anwar, yang pernah dituduhnya meliwat dirinya pada 2008 – mungkin bertujuan mengingatkan Anwar dan pengundi tentang skandal lampau bekas timbalan perdana menteri itu.
“Saiful Bukhari tambah perisa. Saya rasa dia diletakkan oleh musuh Anwar untuk mengingatkannya tentang tuduhan lampaunya.
“Saiful Bukhari mungkin kata sudah lupakan perkara lepas. Tetapi kehadirannya saja sudah cukup mengingatkan tentang kisah silam Anwar,” kata Faisal.
Anwar disabitkan bersalah meliwat Saiful Bukhari dan kembali ke penjara hinggalah dibebaskan dengan pengampunan diraja selepas PH mengambil alih Putrajaya pada Mei.
Profesor Sivamurugan Pandian dari Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia berkata walaupun peluang nipis untuk calon bebas menewaskan Anwar, kehadiran mereka memberikan PRK Port Dickson lebih meriah, berbanding PRK Seri Setia, Balakong dan Sungai Kandis.
“Saiful Bukhari menambah warna tetapi saya tidak nampak tiga calon bebas Cina itu akan memberikan sebarang impak,” katanya.
Sivamurugan berkata cabaran Anwar ialah untuk menang besar bagi mengesahkan tempatnya sebagai bakal perdana menteri.
Untuk berbuat demikian, Anwar dan PH untuk mendapatkan jumlah pengundi yang ramai keluar mengundi berbanding tiga PRK terdahulu.
“Orang bercakap tentang masa beliau untuk kembali ke Parlimen dan isu lain. Beliau tidak boleh membiarkan ia berterusan, jadi beliau tunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti.
“Anwar popular di Port Dickson. Jika beliau boleh dapat jentera PH bersatu padu, maka tidak akan ada masalah.
“Tetapi kita tidak tahu sejauh mana semua ini akan menggalakkan lebih ramai pengundi keluar mengundi, berbanding tiga PRK sebelum ini,” kata Sivamurugan.