‘Langkah PD’ pastikan kaliber Anwar pulihkan negara
Pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson atau disebut sebagai ‘Langkah PD’ dicetuskan bukan untuk menguji pengaruh politik tetapi bagi memastikan kesinabungan pemimpin berkaliber menerajui Malaysia, kata Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran
Langkah PD menurut beliau, sesuai dengan persefahaman yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) pada 7 Januari lalu untuk mengangkat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8 dalam tempoh 2 tahun.
Sehubungan itu, PRK Port Dickson, katanya, disokong penuh oleh DAP yang akan menggerakkan sepenuh jentera membantu Anwar.
“Lim Kit Siang pemimpin veteran DAP menegaskan bahawa Anwar perlu menang di Port Dickson untuk meneruskan pelan kerajaan Pakatan Harapan menerajui masa depan negara dengan membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Tanpa kerajaan yang kukuh, maka negara-negara lain di rantau ASEAN akan jauh meninggalkan kita,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut beiau lagi, hanya Anwar yang mempunyai karisma dan aura dikagumi pemimpin rantau Asia dan dunia setanding Tun Mahathir. Katanya, Anwar sebagai PM akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara lantaran keyakinan pelabur luar untuk kembali menanam modal di negara ini.
Oleh itu, tegas Manogaran, Langkah PD adalah untuk memberi jaminan perubahan yang berlaku akan dijalankan secara teratur dan tidak menjejaskan politik, ekonomi serta sosial.
“Langkah PD untuk mewujudkan satu kepastian setelah Tun Mahathir bersara kita mempunyai pemimpin yang berkaliber dan berpengalaman.
“Justeru itu, sekarang adalah masa yang tepat untuk Anwar kembali ke Dewan Rakyat supaya beliau boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam urus-tadbir.
“Saya harap rakyat nampak isu ini dengan jelas dan pengundi di Port Dickson akan membuat pilihan yang tepat serta bijak apabila tiba tarikh mengundi nanti,” katanya.