Anwar tolak kerjasama PH, PKR – Umno
Pemimpin tertinggi PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada kerja sama antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Umno, paling tidak buat masa sekarang.
“Sudah pasti tiada dan semestinya bukan pada sekarang. Kami tidak pernah mempertimbangkan hal ini. Mereka (Umno) bersama dengan PAS pagi ini dalam suatu persidangan,” beliau memberitahu pemberita di Singapura hari ini merujuk pimpinan Umno hadir Muktamar PAS ke-64.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
“Hal akan datang itu que sera sera (masa hadapan di luar kawalan). Tetapi buat masa ini, tidak ada langsung dalam pertimbangan,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama akan datang.
Anwar membuat kenyataan selepas Anggota Parlimen Umno dari Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan mahu membantunya dalam pilihan raya kecil Port Dickson.
Khamis lalu, Nazri berkata beliau mahu Umno bekerja sama dengan PKR supaya bekas parti pemerintah itu dapat kembali menjadi kerajaan.
Sementara itu, mengenai dakwaan Umno mengkaji bercantum dengan BERSATU, Anwar berkata beliau tidak bimbang.
“Kenapa risau? Mereka boleh berbincang dengan sebarang anggota gabungan HARAPAN. Tiada masalah,” katanya.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan awal hari ini bahawa kesemua anggota parlimen parti itu telah menandatangani pengisytiharan bagi memberi kuasa kepada beliau mengkaji kerja sama dengan kesemua parti-parti politik, termasuklah HARAPAN dan PAS.
Beliau juga tidak menolak bekerja sama dengan parti komponen HARAPAN walaupun baru-baru ini Umno cukup dekat dengan PAS mengatakan “pintu senantiasa terbuka.”