Sg Kandis: Rakyat tolak politik kaum, agama sempit Umno, Pas
Biar pun calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni hanya menang pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis dengan undi sebanyak 15,427 mengatasi Lokman Adam, namun keputusan itu sudah cukup untuk membuktikan penolakan rakyat terhadap politik adu domba Umno dan Pas.
Bagaimanapun peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 49.4%, digembar-gemburkan BN sebagai isyarat negatif terhadap Pakatan Harapan (PH).
Bagi Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye, faktor keluar mengundi yang rendah sepatutnya tidak menjejaskan kemenangan kerana ramai penyokong PH yakin PKR akan menang mudah di kubu kuat mereka.
“Lagipun, PRU 14 baru sahaja selesai 3 bulan yang lalu dan keputusan Sungai Kandis tidak akan mengubah apa-apa pun,” kata Dr. Lee kepada Suara pakatan daily.
Ahli Parlimen Gopeng itu juga menekankan, walaupun Umno-BN telah menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih undi namun mereka tetap gagal memenangi kerusi tersebut. Perkara itu, tegasnya, menunjukkan isu perkauman tidak lagi laku di era politik baru.
“Malaysia sudah bergerak ke depan dan selagi BN tidah mahu sedar, mereka akan terus kalah,” ujar Dr. Lee yang berharap rakyat akan terus menyokong PH dalam PRK di Balakong dan Seri Setia nanti.
Begitu juga, menurut Dr Lee rakyat faham kedudukan kerajaan PH yang belum mampu menunaikan kesemua janji PRU akibat kekangan kewangan. Rakyat, katanya, kekal mengundi PH walaupun BN menghentam PH gagal memenuhi manifesto.
“Disebabkan oleh kekangan kewangan hasil dari pengurusan tempang mantan Kerajaan BN, Pakatan masih belum lagi dapat menunaikan banyak perkara yang telah dijanjikan dalam manifesto.
“Itulah sebabnya walaupun mantan Perdana Menteri, Najib Razak ada menyebut tentang kegagalan PH menunaikan janji, PKR masih menang sebab rakyat bijak dalam isu-isu politik negara dan faham apa yang sebenarnya sedang berlaku”.
Dalam PRK Sg Kandis peratusan undi yang diterima PKR meningkat 5.8% daripada 55.6% ke 61.4%, berbanding keputusan pada PRU14 pada 9 Mei lalu.