SST: Beli lebih banyak barang dengan nilai wang sama – Dr Dzulkifly
Menteri Kesihatan Dr Dzulkifly Ahmad menyelar pihak-pihak yang mempertikaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan pada 1 Seprember ini lebih membebankan rakyat berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dihapuskan sejak 1 Jun lalu.
Beliau yang juga Pengarah Strategi Amanah dan mahir bidang ekonomi berkata, SST secara konsepnya menetapkan ‘semua jenis barangan dikecualikan cukai melainkan beberapa sahaja yang dikenakan cukai berbanding GST yang mana semua barang dikenakan cukai melainkan beberapa jenis barang sahaja yang tidak dicukai’.
Dalam sistem SST, tambahnya, hanya pengilang dikenakan cukai tidak seperti mana GST, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna dicukai. SST, katanya, akan membolehkan rakyat membeli lebih banyak barang dengan jumlah wang yang sama.
“Semua barang akan mengalami penurunan harga, hanya bergantung sama ada harga diturunkan dengan banyak ataupun sedikit. Secara umumnya kalau barang itu berharga RM10, penurunannya adalah di antara 60 sen hingga 90 sen.
“Ini bererti rakyat akan dapat penjimatan berbanding zaman GST. Bayangkanlah kalau harga sesuatu barang ialah RM1,000 maka penjimatannya ialah RM60.
“Justeru, semua lapisan masyarakat termasuk golongan usahawan, majikan, peniaga, pemborong, peruncit dan warga marhaen pun rasa gembira dengan perkembangan ini.
“Itulah sebabnya dalam kajian terbaru, Indeks Harga Pengguna adalah pada kadar yang terendah sejak Februari 2015.
“Golongan usahawan telah menyatakan keyakinan mereka terhadap Kerajaan Pakatan Harapan kerana mereka pasti pentadbiran sekarang akan berjalan dengan bersih dan telus dalam semua aspek kewangan, bidaan dan pemberian tender,” kata Dr Dzul kepada Suara pakatan daily.
Berkenaan beberapa pihak yang menjumlahkan 10% cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan dalam sistem SST menjadikannya 16%, Dr. Dzulkefly berkata fakta itu salah sama sekali kerana cukai 6% itu digunakan di bidang perhotelan dan setengah-setengah restoran sahaja dan tidak disekalikan dengan jumlah 10%.