SETELAH PAS SOKONG UMNO, KE MANA HALA PENGUNDI BUKAN MELAYU DI SUNGAI KANDIS?




Semalam Najib Razak turun lagi ke Sungai Kandis untuk berkempen bagi calon BN, Lokman Noor Adam dan ini adalah kedatangannya buat kali kedua setakat ini.

Kehadiran Najib turun berkempen ini agak ganjil dan menghairankan, seolah-olah tidak sedar beliau telah ditolak rakyat dan merupakan punca utama kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 9 Mei lalu.

Apakah tujuan Najib turun berkempen dan menyibuk lagi di Sungai Kandis?

Bukankah, selepas meletakkan jawatan dan ditolak rakyat dan jadi sejarah ketika ini, Najib sebaiknya berdiam diri saja serta menumpukan sepenuh perhatiannya kepada kes mahkamah yang sedang dihadapinya?

Adakah dengan turun berkempen itu Najib serius mahu membantu kemenangan atau  sebenarnya ingin melihat calon BN dapat kekalahan yang lebih besar?

Jika calon BN menang, adakah nantinya Najib akan mendakwa beliau adalah  penyumbang utamanya? 

Kalau kalah BN pula, adakah Najib akan tersenyum akhirnya kerana UMNO dan BN yang dipimpin Zahid Hamidi tidaklah lebih baik dan diterima rakyat selepas ketiadaannya?

Bermakna, dalam apa juga keputusan yang bakal menjelma di Sungai Kandis nanti, Najib sudah sedia dengan perangkapnya yang akan dua-dua mengena.

Sedarkah Zahid Hamidi akan hal ini?

Tidak mustahil, sebelum 4 Ogos nanti, Najib akan turun lagi berkempen di Sungai Kandis, walaupun seperti dalam dua kedatangannya sebelum ini, tiada seorang pun pemimpin UMNO Pusat yang hadir menemaninya.

Dalam waktu yang sama, semakin dekat hari pengundian, muslihat Pas tidak turun bertanding di Sungai Kandis akhirnya terdedah juga apabila parti itu kini secara terbuka menyokong calon BN.

Daripada gegak gempita sejak penubuhannya mahu menjadi lawan UMNO, Pas kini secara automatik adalah kawan kepada UMNO. Daripada mahu menjadi pengganti kepada UMNO, Pas kini juga adalah teman sejati UMNO.

Amat malang sebenarnya kerana perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Pas ini berlaku ketika UMNO sudah pun hilang kuasa dan digelar parti penyamun oleh kebanyakan rakyat negara ini.

Bukankah jika tidak sibuk nak jadi "king maker" dan sedia bergabung dengan UMNO sebelum PRU14 dulu, Pas hari ini sudah pun jadi sebahagian daripada kerajaan?

Apakah dengan sokongan terbuka Pas ini, ahli dan penyokong akar umbinya yang selama berpuluh tahun ditarbiah dan ditanam dengan kepercayaan bahawa UMNO adalah parti taghut, assabiyah dan kafir akan sedia memberikan undi kepada BN?

Atau lebih ramai yang akan memboikot dan tidak keluar mengundi?

Apalah  gandingan UMNO dan Pas yang begitu diagungkan di Sungai Kandis ketika ini, bermakna BN tidak lagi memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu yang merangkumi 12 peratus Cina dan 16 peratus India?

Bolehkah BN menang dengan sokongan Pas semata-mata dan tanpa undi bukan Melayu? (ShahbudinHusin 29/07/2018)