Raja Kamarul Bahrin, Dr Radzi Jidin angkat sumpah senator
Pengerusi Parti AMANAH Negeri Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar) dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ketereh Dr Mohd Radzi Jidin antara lapan individu dijadualkan akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Dewan Negara har ini.
Mereka yang akan mengangkat sumpah adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang Marzuki Yahya;Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong; Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy; Datuk Ismail Ibrahim; Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Hussein Awang dan; Pendakwah Asmak Husin.
Kesemua mereka dipilih oleh kerajaan pusat manakala Datuk Hussein Awang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu dan Asmak Husin oleh Dun Kelantan.
Dijangkakan dalam kalangan mereka akan mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sumber memberitahu, kemungkinan Raja Kamarul Bahrin, Dr Mohd Radzi dan Chin Tong akan dilantik Timbalan Menteri.
Nama mereka diperoleh daripada jemputan media oleh Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen yang memaklumkan upacara mengangkat sumpah Anggota Dewan Negara itu akan berlangsung pada jam 2 petang di Bangunan Parlimen hari ini.
Sementara itu, berdasarkan jemputan media Istana Negara yang diedarkan semalam, satu istiadat pengurniaan surat cara pelantikan, mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia oleh menteri dan timbalan menteri akan diadakan pada 3.30 petang, di Istana Negara.
Pada 2 Julai lalu, Dr Mahathir berkata tiga lagi menteri akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan Kabinetnya kepada 29 orang menteri.
Katanya, pelantikan tiga menteri itu hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara. –