Justo buat laporan jenayah ke Scotland Yard
Bekas eksekutif Petrosaudi International, Xavier Justo membuat laporan jenayah dengan pihak polis Scotland Yard ke atas “beberapa” firma UK dan individu yang didakwa terlibat dalam perjanjian Petrosaudi-1MDB.
“Perjuangan belum berakhir, kita akan kejar semua mereka. Jenayah mereka tidak akan dilupakan atau diampuni, tidak pernah!” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Antara firma UK yang dipercayai terbabit dalam perjanjian itu adalah Royal Bank of Scotland (RBS).
Bank itu sebelum ini adalah milik Coutts & Co Ltd, yang mana Good Star Ltd – sebuah syarikat yang didakwa dikawal oleh usahawan berkaitan dengan 1MDB, Jho Low – mempunyai akaun.
Pada tahun 2009, Good Star dipercayai menerima AS$700 juta yang diselewengkan daripada projek usahasama 1MDB dengan Petrosaudi International.
Satu lagi entiti British yang terlibat dalam skandal 1MDB ialah Standard Chartered, yang mengendalikan urus niaga sebanyak AS$1.1 bilion yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB kepada ahli perniagaan di Singapura.
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura pada 2015 mendenda Standard Chartered Bank dan Coutts & Co Ltd masing-masing sebanyak SG$5.2 juta dan SG$2.4 juta untuk kesalahan berkaitan 1MDB.
RBS menjual Coutts & Co Ltd pada tahun 2015.
Justo membuat laporan itu bersama isterinya Laura, yang dirakamkan bersama dengannya di luar ibu pejabat New Scotland Yard London.
“Kita berjuang sebagai keluarga kerana kita sekeluarga menderita, kita akan hanya berehat apabila penjahat ini ditangkap, bukan sebelum itu,” katanya.