Kecintaan dan semangat untuk menyelamatkan negara telah mendorong seorang doktor gigi menderma sebanyak RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia hari ini.
Pemilik Amim Dental Surgery, Dr Amim yang juga merupakan pemilik lima buah klinik pergigian sekitar Johor Bahru hari ini menzahirkan rasa gembira dan terharu dapat melakukan sumbangan terhadap negara.
Serahan sumbangan tersebut dibuat dalam sebuah majis sederhana penyerahan replica cek kepada tokoh veteran Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; dan Exco Pembangunan Wanita & Pelancongan Johor, Liow Cai Tung.
“Ini adalah saat terindah dalam hidup saya apabila dapat berkongsi kegembiraan dengan yang lain.
“Saya gembira kerana saat ini saya boleh beri sumbangan kepada negara. Saya juga berbangga dengan kakitangan saya, kita mempunyai pakar yang bagus dan juga jururawat yang setia. Tanpa anda, kita mungkin tidak berupaya memberi sumbangan ini,” kata Dr Amim menahan sebak.
Ketika memberikan ucapan, veteran DAP Lim Kit Siang berkata Tabung Harapan merupakan manifestasi ‘kelahiran semula’ Malaysia di mana rakyat Malaysia seluruhnya menunjukkan kecintaan kepada negara.
“Tak ada siapa berharap tabung ini akan berjaya mengumpul sehingga menghampiri jumlah trillion ringgit hutang negara namun ia boleh dikatakan sebuah katarsis nasional apabila rakyat Malaysia – walau apa yang telah dilakukan pemimpin sebelumnya, rakyat keseluruhannya tidak akan membiarkan tanah air dan masa depan negara digadaikan oleh pemimpin,” katanya membaca kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin berkata, jumlah RM1 juta yang disumbangkan tersebut bukanlah satu jumlah yang kecil.
“Sebagai Ahli Parlimen, kita akan terus bersuara kepada rakyat supaya Pakatan Harapan menjadi kerajaan yang telus, bersih, tidak mencuri wang rakyat, akauntabel dan bertanggungjawab demi memastikan Malaysia dapat ditadbir dengan baik!”
Exco Pembangunan Wanita & Pelancongan Johor Liow Cai Tung pula dalam ucapan ringkasnya berkata sumbangan yang dilakukan seperti ini menunjukkan semangat patriotik kepada negara.
“Harapan rakyat Malaysia amat tinggi kepada Pakatan Harapan. Kami berjanji akan menggunakan dana Tabung Harapan ini di tempat yang betul dan secara telus,” katanya.
Selain pimpinan DAP, turut hadir memberikan sokongan ialah Dr Zakiah (isteri), para doktor dan jururawat dari seluruh kliniknya.
Menurut Dr Zakiah, pihaknya ingin membuat sumbangan sejak awal Tabung Harapan Malaysia dilancarkan secara senyap tanpa mahu didedahkan kepada umum namun terkejut apabila diberitahu bahawa Lim Kit Siang membuat keputusan menemui mereka hari ini.