Calon Bersatu P Pinang kemuka petisyen cabar keputusan PRU 14
Calon Bersatu Parlimen Tasek Gelugor, Marzuki Yahya mahu mencabar keputusan PRU14 yang lalu di mahkamah pada minggu hadapan.
Beliau berkata, keputusan itu adalah bagi memohon perintah mahkamah supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan di kawasan berkenaan.
“Kita telah bincangkan dalam mesyuarat kepimpinan negeri mengenai permasalahan yang berlaku, antaranya ialah keputusan di Parlimen Tasek Gelugor yang kita lihat ada undi keraguan.
“Kita dah bincang untuk memfailkan petisyen di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis Iftar Bersatu Pulau Pinang di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam.
Menurutnya, petisyen itu akan dihantar ke mahkamah pada minggu hadapan selepas perbincangan akhir dengan penasihat undang-undang parti.
“Kita akan cabar keputusan PRU14 di Parlimen Tasek Gelugor kerana kita lihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu menidakkan hak saya sebagai calon.
“Peratusan kekalahan saya bawah empat peratus dan ini memberi hak kepada saya untuk minta dikira semula.
“Tetapi amat malang sekali SPR tak beri layanan langsung kepada saya sebagai calon dan undi rosak yang terlalu banyak,” katanya.
Pengerusi Bersatu Pulau Pinang itu berkata, perkara tersebut menjadi keraguan kepadanya bagi menentukan kemenangan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.
Pada PRU14, Marzuki tewas kepada calon BN, Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi.