Wang tunai dirampas di Pavilion Residences berjumlah RM120 juta
Wang tunai yang dirampas di Pavilion Residences, Kuala Lumpur sudah habis dikira dan ia dilapor bernilai kira-kira RM120 juta.
“Proses kiraan wang tunai itu bermula pada Isnin (21 Mei) dan penyiasat mengambil masa lama bagi memastikan proses itu dijalankan dengan teliti.
“Sebanyak 30 beg wang tunai dikira oleh pegawai polis dengan bantuan pegawai Bank Negara.
“Jumlah keseluruhannya kira-kira RM120 juta,” menurut sumber yang dipetik oleh The Star.
Wang tunai itu antara 284 kotak rampasan selain beg tangan berjenama, jam dan permata. Terdapat juga mata wang asing.
Serbuan itu sebahagian daripada siasatan terhadap 1MDB.
Jumaat lepas, polis merampas wang tunai dan barangan bernilai di enam lokasi yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam laporan polis, Najib mendakwa wang tunai yang dirampas dari Pavilion Residences itu adalah derma rakan-rakan untuk kempen pilihan raya BN.