Umno tiada locus standi pecat, parti itu sudah mati – Rais
Tan Sri Rais Yatim berkata, Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tunjuk sebab kepadanya atau memanggilnya untuk menjalani inkuiri disiplin sebelum dipecat.
Bekas menteri itu berkata, tindakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan beliau, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz dipecat secara tiba-tiba menunjukkan pendirian Umno yang sombong dan terus berlagak akan berkuasa selama-lamanya.
“Saya terima keputusan Umno dalam situasi ini dan cuma saya mendoakan apa-apa komen saya terhadap Umno dan juga sistem dalam penulisan serta suara saya itu dipertimbangkan anggota Umno supaya parti ini tidak terus menjadi mangsa kepada salah guna kuasa, salah haluan yang dibuktikan oleh pimpinannya,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Umno memecat dirinya, Daim dan Rafidah berkuatkuasa semalam.
Daim dan Rafidah menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan menghadiri ceramah anjuran gabungan 4 parti pembangkang itu, manakala Rais pula membidas Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya secara terbuka kerana membuang gambar Tun Dr Mahathir Mohamad daripada papan iklan pembangkang.
Rafidah turut menyeru rakyat menolak BN dan memberi mandat mentadbir negara kepada PH.
Sementara itu, Rais berkata, Umno sebenarnya tidak wujud lagi kerana ia melanggar fasal 10 perlembagaan parti disebabkan tiada pemilihan parti sejak 2013.
“Bagi saya, Umno sudah tidak wujud kerana pelanggaran dibuat di bawah fasal 10. Sepatutnya hari itu dikemukakan oleh Umno kepada mahkamah atas isu itu sahaja.
“Tapi dia tak buat, jadi saya masih beranggapan Umno sudah tidak ada locus standi untuk menerajang mana-mana pihak sebab parti itu sudah mati pada pandangan saya, pelanggaran fasal 10.
“Jadi bila dia dah tendang saya, itu adalah tendang keluar politik namanya, bukan tendang keluar di sisi undang-undang perlembagaan Umno.”
Rais yang juga bekas ahli Parlimen Jelebu berkata, beliau tidak perlu tergesa-gesa menyertai parti lain.
“Selepas ditolak ini, selepas dibuang kerja, saya berpeluang untuk memilih platform apa yang harus saya sertai untuk menyampaikan pandangan serta ulasan kehidupan kita di Malaysia.
“Tak perlu saya tergesa-gesa memilih parti mana…jadi saya akan buat penilaian positif untuk Malaysia dan akan membuat pengumuman kemudian.
“Setakat ini saya nilai dulu tindakan Umno yang boleh dianggap sebagai tindakan sepak terajang semerta.”
Mengenai jawatannya sebagai penasihat sosiobudaya kerajaan, Rais berkata, tempoh jawatan itu akan tamat dalam 2 minggu lagi.
“Dia dah kira penghujung sahaja. Sebenarnya saya sekarang sudah cuti daripada jawatan itu sebab dah 5 tahun,” katanya.