Pertempuran merebut undi di Johor beralih keluar bandar
Hari keempat berkempen Pakatan Harapan (PH) yakin terhadap sokongan pengundi bandar di Johor akan memihak kepada mereka. Gerak kerja kempen kini beralih ke kawasan luar bandar yang masih banyak pengundi tegar BN.
Demikian dinyatakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayob apabila ditanya potensi kemenangan PH di negeri Selatan Semenanjung itu.
Beliau yang sedang bertarung di kerusi Parlimen Pulai berkata, senario di negeri itu kelihatan baik dan mood pengundi menyokong PH menyerlah di bandar-bandar besar.
“Namun begitu, saya percaya pengundi-atas-pagar akan berpihak kepada kita.
“Ada segelintir rakyat Johor yang berpendapat kalau Pakatan menang, tiada lagi pemberian BR1M dan kita sedang berusaha untuk mencelikkan minda mereka.
“Kita memberitahu rakyat Johor bahawa kalau Pakatan menerajui Putrajaya, banyak lagi manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat terutamanya harga barang akan turun apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan dimansuhkan. Begitu juga subsidi pelbagai jenis barangan akan dikembalikan dan BR1M akan diteruskan juga,” kata Salahuddin kepada Suara pakatan daily.
Beliau menegaskan kini perang saraf amat kuat dijalankan di media arus perdana di mana penganalisis politik meramalkan BN akan menang besar dan ini adalah untuk melemahkan semangat penyokong PH agar mereka tidak meneruskan kempen kerana menyedari BN tidak boleh dikalahkan.
“Saya ingin menekankan senario di peringkat akar-umbi atau di padang perlawanan belum dapat ditentukan lagi.
“Kalau lebih ramai penyokong Pakatan keluar mengundi kita, pasti keputusan akan menyebelahi Pakatan.
“Oleh kerana itulah, pihak BN sedang cuba sedaya-upaya menghindar penyokong Pakatan dari keluar mengundi. Pihak BN tahu kali ini peluang untuk Pakatan menang pilihan raya umum adalah cerah dan mereka akan menggunakan pelbagai taktik perang saraf untuk menghentikan momentum Pakatan.
“Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya keluar mengundi dan balik mengundi sebab kita diambang mencipta sejarah.
“Jom, kita menuju ke arah mewujudkan Kerajaan Persekutan Pakatan Harapan pada 9 Mei ini,” kata Salahuddin lagi.