Isu GST, kenaikan harga barang ‘laris’ di Terengganu
Tinggal 8 hari sebelum pembuangan undi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata isu yang paling ‘laku’ dijual di negeri itu adalah kenaikan harga barang akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, isu kenaikan harga boleh mengalihkan undi BN dan Pas kepada PH. Menurutnya hanya PH sahaja yang jelas dasarnya mengenai pemansuhan GST dan mekanisme pengganti cukai itu.
“Pihak PH memberi tumpuan utama kepada isu ini kerana harga barang dan kos sara hidup yang tinggi memberi tekanan amat berat terhadap saku rakyat biasa.
“Saya rasa BN telah gagal memberi penerangan yang memuaskan mengenai GST dan rakyat semakin percaya kepada hujah kita bahawa GST adalah faktor utama yang menyebabkan harga barang meningkat.
“Di masa yang sudah dekat dengan tarikh mengundi ini, kita perlu membuat kempen yang ‘simple’ (mudah dan ringkas) sahaja di samping memberi penekanan kepada dasar Pakatan untuk memansuhkan GST dan mengembalikan subsidi apabila kita memegang kuasa di Putrajaya,” jelas beliau.
Bagi Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, isu GST jugalah yang menjadi isu utama di Perak selain daripada isu-isu yang melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya yakin Pakatan akan dapat memenangi Perak kerana rakyat dari semua golongan di seluruh negeri ini menyatakan hasrat mereka untuk mengembalikan Perak ke tangan Pakatan dan pada masa yang sama juga, mereka yang berpendapatan rendah hendak mengubah kerajaan pusat sebab sudah rasa cukup sengsara dengan GST.
“Oleh yang demikian, pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) ini memberi peluang keemasan untuk kita merampas kembali negeri Perak selepas undi dikira pada malam 9 Mei nanti.
“Saya juga optimis bukan sahaja rakyat Perak malah rakyat Malaysia akan bertekad untuk mengubah kerajaan pusat,” tambah Nizar.