DAP mahu SPRM siasat jual 64 lot tanah kerajaan
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera dakwaan 64 lot penjualan tanah kerajaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju yang didakwanya tanpa mematuhi prosedur kerajaan.
Pemimpin DAP itu berkata, sejak 2013, semua lot tanah yang berkeluasan 171 hektar itu telah dijual pada harga RM4.28 bilion.
“Secara amnya, tanah-tanah ini dijual bagi tujuan penyediaan Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di samping menyeimbangkan keperluan persekitaran dengan pembangunan bercampur seperti kedai pejabat, pangsapuri harga bebas dan sebagainya.
“Semua tanah itu dijual tanpa tender terbuka serta harga yang diletakkan di bawah harga pasaran semasa iaitu lebih kurang RM74 bagi satu persegi tanah.
“Kesemua transaksi itu dijual dengan kelulusan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia selepas membuat laporan berhubung kes tersebut di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Mengulas lanjut, Lim berkata, semua pemohon pembelian tanah daripada syarikat terlibat telah dikemukakan secara terus kepada DBKL pada bulan Januari 2016 dan tiada bukti Jawatankuasa Penilaian telah ditubuhkan serta kertas kerja proses penilaian disediakan.
“Saya minta SPRM menyerbu Yayasan Wilayah Persekutuan serta pejabat-pejabat syarikat pemaju bagi mendapatkan dokumen yang lengkap.
“Walaubagaimanapun, bangunan-bangunan yang telah dibina di atas lot tanah yang terlibat boleh diteruskan, cuma menghentikan dengan segera projek-projek penbinaan yang belum dijalankan,” katanya.
Sebelum ini, Lim menuntut menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi penjelasan.
Ini kerana katanya, jawapan bertulis yang diberi semasa sesi Parlimen lalu mengenai tanah yang telah dijual oleh Kementerian Wilayah Persekutuan itu tidak mempunyai butiran lanjut yang disertakan berhubung perkara berkenaan.
Malah, beliau turut mempertikaikan daripada 64 buah lot, hanya 30 lot tanah sahaja yang digunakan untuk membina rumah awam seperti Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip)