Mahathir tidak peduli kalau awak ketawa menonton klip filem pendek dialognya dengan seorang anak kecil yang sedang kian tular di media sosial.
Mahathir tidak menangis untuk tontonan awak. Mahathir menangis untuk mereka yang terkesan dengan politik air mata Mahathir. Dan mereka yang terkesan dengan titis air mata Mahathir akan bertindak di luar jangkaan awak yang ketawa dengan politik air mata Mahathir.
Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak beserta aparat media sosialnya berkenduri sakan dengan klip air mata Mahathir itu. Tanpa sedar, mereka menyebarkan rakaman terbabit kepada kumpulan sasaran Mahathir.
Sambil ketawa dan bersuka-ria, Najib Razak, Barisan Nasional dan seluruh jentera yang diberi makan olehnya telah menyebarkan propaganda pihak lawan. Mereka tuduh Mahathir berlakon, mereka ketawakan beliau secara berjemaah.
Apa yang mereka tidak sedar ialah Barisan Nasional tidak ada jawapan kepada politik air mata Mahathir. Mereka cuma tahu ketawa, dan mereka sangkakan itu respon yang betul. Alangkah malangnya mereka ini.
Akal melawan hati
Sudah banyak kali kita berbincang tentang bagaimana politik itu adalah pertembungan antara pertimbangan akal dan hati.
Emosi dan logika sering tidak sekata, tetapi dalam pilihan raya kali ini, nampaknya kelaziman itu tertangguh seketika.
Jangan tersalah faham, PRU ke-14 bukan soal memilih wakil rakyat atau mempertimbangkan manifesto siapa yang lebih menarik. PRU ke-14 sebenarnya adalah soal kehendak dan iradat rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia mahu harga barang turun. Kita mahu lebuhraya bebas tol. Kita mahu khidmat kesihatan dan pendidikan yang tidak menjadi beban kewangan. Kita mahu anak muda punya peluang pekerjaan. Kita mahu penjawat awam berhenti makan rasuah, melayan keperluan orang ramai dengan ramah dan tidak marah-marah. Kita inginkan sebuah negara yang aman makmur sentosa bahagia, tanpa rakyatnya bermusuhan hanya kerana berlainan keturunan dan agama.
Kita tidak mahu dibeban cukai di saat pendapatan tidak mencukupi untuk dibuat simpanan. Kita tidak mahu agama dan kaum jadi modal politik murahan. Kita juga tidak mahu kedaulatan negara dijadikan barang gadaian. Rakyat Malaysia mahu melihat mereka yang bertanggungjawab ke atas semua kecelakaan ini dibawa ke muka pengadilan. Dan di atas semua ini, kita pastinya tahu bahawa rakyat Malaysia sudah tidak mahu United Malays National Organisation kekal menerajui kerajaan.
Sentimen akar rumput Melayu-Islam
Kehendak yang paling akhir itu sebenarnya intipati PRU ke-14 ini. UMNO akan terus kekal berkuasa melainkan kuasa politik orang Melayu membuat keputusan untuk membakulsampahkan parti itu.
Inilah faktor yang kita sebut sebagai ‘tsunami Melayu’ – gelombang yang lambat sepuluh tahun.
Air mata Mahathir menitis untuk mereka yang ikut bersama gelombang ini. Bukan sahaja mereka yang sudah ikut serta, bahkan yang masih teragak-agak pun ikut cair sama, berkongsi video itu atau sebahagiannya di media sosial, bertanyakan siapa potong bawang sehingga air mata mereka juga menitis.
Itu belum dicampur faktor Nik Omar dan kesannya terhadap pengundi PAS.
Selain video air mata Mahathir, turut tular dan menyumbang kepada gelombang perubahan ini adalah beberapa rakaman anak sulong Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ini yang berjaya mengusik jiwa mereka yang merindui PAS di zaman mantan menteri besar Kelantan itu.
Pada tutur kata Nik Omar, mereka temukan jiwa Nik Aziz. Jiwa yang telah ghaib dari politik PAS sejak Almarhum meninggal dunia, dan kemudian mengakibatkan PAS mengubah pendekatan politik mereka menjadi mesra UMNO.
Namun soalnya kini, cukupkah air mata Mahathir dan santun kata Nik Omar untuk mendorong tsunami yang lambat sepuluh tahun ini melanggar kubu-kubu Barisan Nasional?
Dengan sembilan hari berbaki, pastinya rakyat Malaysia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memberi jawapan kepada persoalan itu, dan mengusung UMNO keluar dari takhta Putrajaya