Keadaan terdesak menyebabkan pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) terus melemparkan tuduhan basi tidak berasas terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) setelah gagal menjawab pelbagai dakwaan skandal rasuah yang telah merosakkan imej dan ekonomi negara.
Ketakutan ini menyebabkan mereka terpaksa menyebarkan ‘berita palsu’ bertujuan menakut-nakutkan rakyat negara ini khususnya orang Melayu semakin jelas tidak berpihak kepada UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam ucapannya di hadapan pelajar alumni MARA di Subang Jaya semalam, Presiden BN, Najib Razak menuduh pembangkang tidak senang dengan institusi bumiputera yang ada di Malaysia.
Najib mendakwa kononnya pembangkang akan melakukan sesuatu kepada institusi bumiputera yang tidak selaras dengan Malaysian Malaysia.
“Mereka (pembangkang) akan melihat kalau ada institusi bumiputera yang tidak selaras dengan konsep Malaysian Malaysia pasti mereka akan melakukan sesuatu terhadap institusi itu.
“Sebab itu amat penting bagi kita untuk pastikan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini tidak akan berlaku tsunami Melayu,” katanya lapor Malaysiakini.
Tuduhan membabitkan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi prinsip DAP bukan pertama kali digunakan pemimpin UMNO untuk ‘mengugut’ orang Melayu.
Sebelum ini, momokan ‘berita palsu’ sedemikian turut digunakan Najib semasa berucap pada majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera baru-baru ini kononnya Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mungkin kerana tidak sesuai dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.
Bagaimanapun, dakwaan Najib itu disanggah tokoh Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari yang menjelaskan RAMD tidak mungkin dibubar walau apa juga keadaan kerana pasukan itu dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja.
Tegasnya, perkara yang sama ujarnya terpakai terhadap segala dakwaan dan momokan UMNO selama ini yang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu.
“Sama seperti dakwaan UMNO yang kononnya DAP akan memansuhkan institusi raja, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan juga kedudukan istimewa Melayu,” kata calon HARAPAN DUN Tebing Tinggi itu.