Meskipun pada sebelah pagi tadi Najib Razak dilihat agak keberatan untuk mengisytiharkan hari pengundian 9 Mei depan sebagai hari cuti umum, pendirian beliau akhirnya berubah pada sebelah petangnya.
Jika pada sebelah pagi beliau menasihatkan rakyat agar merancang masa untuk turun mengundi memandangkan tarikh 9 Mei itu jatuh pada hari bekerja, Najib sebaliknya berubah pendirian pada petang tadi dengan mengisytihatkan hari tersebut sebagai cuti umum.
Memang disedari tindakan mengisytiharkan cuti umum ini dibuat dengan perasaan yang berat hati oleh Najib, tetapi apakan daya kerana kecaman dan kemarahan rakyat nampaknya sedang meluap-luap mengenainya.
Dan Najib tidak ada pilihan lain selain terpaksa akur dan tunduk kepada kehendak rakyat itu.
Apatah lagi apabila sebuah petisyen dalam talian yang baru diwujudkan sudah pun mampu menarik sokongan lebih 100 ribu daripada pengguna maya daripada seluruh negara.
Petisyen berkenaan ditujukan kepada Yang Dipertuan Agong meminta agar baginda campurtangan dengan mengisytiharkan hari Rabu, 9 Mei itu sebagai cuti umum demi kemudahan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka.
Apa pun, tahniah dan syabas kepada rakyat yang suara mereka telah berjaya membuatkan Najib akur, tunduk dan mengalah dengan pengisytiharan cuti umum yang dibuat petang tadi oleh Pejabat Perdana Menteri.
Najib akhirnya kalah 0-1 kepada suara rakyat.
Dengan perisytiharan cuti umum itu juga menunjukkan Najib tiada pilihan lain selain terpaksa mencontohi amalan Tun Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan hari mengundi sebagai cuti umum pada pilihanraya 1995 dan 1999 yang lalu.
Cumanya, Tun Mahathir mengisytiharkan cuti umumnya sebelumnya kerana pemahamannya yang mendalam terhadap kehendak serta keperluan rakyat, manakala Najib hanya berbuat demikian setelah adanya desakan yang kuat daripada pelbagai kelompok masyarakat.
Inilah bukti keramatnya suara rakyat. Jika berkaitan cuti umum pun rakyat mampu mengubah keadaan, bermakna mengubah siapa yang patut jadi kerajaan dan Perdana Menteri juga tidak mustahil dapat dijadikan kenyataan melalui kesatuan suara keramat yang dimiliki oleh rakyat itu.
Suara rakyat suara keramat, jangan sesekali disia-siakan keajaibannya. (ShahbudinHusin 11/04/2018)