Kerja kami kurangkan hutang Najib – Tun M
Pakatan Harapan (HARAPAN) menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa manifesto pilihan raya yang dibentangkan gabungan parti pembangkang itu akan menyebabkan negara menanggung tambahan hutang.
Sebaliknya, pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, dakwaan Najib tidak berasas kerana gabungan parti pembangkang itu belum pernah diberi peluang mentadbir negara.
“Yang naikkan jumlah hutang ini ialah di masa Najib jadi perdana menteri. Kami punya kerja nak kurangkan.
“Apa asasnya benda yang dia kata? Adakah kami dah menunjuk bahawa dulu bila kami berada dalam kerajaan maka kerajaan mempunyai hutang yang banyak?” soalnya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen, hari ini.
Najib ketika berucap kepada sekumpulan pelajar universiti semalam berkata janji HARAPAN untuk memansuhkan tol serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan membawa negara berhutang hampir RM1 trilion.
Menurut Najib, kerajaan sudah membuat pengiraan berdasarkan cadangan yang ditawarkan oleh HARAPAN jika mereka berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 akan datang.
Kata perdana menteri langkah diambil HARAPAN itu akan menyebabkan hutang negara melonjak kepada RM416 bilion.
Mengulas lanjut, Mahathir turut menyentuh isu syarikat di bawah kementerian kewangan 1MDB yang menanggung hutang RM42 bilion.
Katanya, syarikat ilham Najib itu merupakan satu penipuan kepada rakyat.
“Kita tak pernah menubuhkan sebuah syarikat supaya lari daripada siling. Kerajaan mempunyai siling dan tak boleh hutang lebih daripada siling yang ia disahkan dalam Parlimen.
“Tetapi Najib tubuhkan 1MDB yang tidak lagi tertakluk kepada siling kerajaan.
“Pernahkah kita dengar kerajaan Malaysia (sebelum ini) buat penipuan macam tu? Kita tak pernah (dengar). Tapi Najib yang pernah (lakukan).
“Jadi kalau nak tambah hutang lagi, Najiblah yang boleh tambah. Dia pandai macam mana nak tambah hutang,” katanya.
Pada bulan lalu, Najib mempertahankan hutang RM42 bilion tersebut dengan mengatakan wang itu tidak pernah hilang, tidak seperti kerguian RM31 bilion dalam skandal pertukaran mata wang asing (forex).
Skandal forex berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir.
Bagaimanapun, pada Januari lalu, Najib mengakui ada kegagalan dalam pengurusan 1MDB.