Rundingan kerusi seluruh negeri selesai bulan ini – Mujahid
Peruntukan kerusi negeri antara parti Pakatan Harapan di beberapa negeri akan diselesaikan hujung bulan ini, kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa.
Kepimpinan pusat gabungan pembangkang itu sedang menjalankan rundingan kerusi untuk beberapa buah negeri, termasuklah di Pulau Pinang dan Selangor selepas pemimpin kedua-dua negeri itu tidak berjaya mencapai persefahaman.
“Kami dalam usaha menyelesaikan kerusi negeri di seluruh negara yang belum selesai (dibahagikan).
“Kami sudah memberikan rundingan itu kepada PH pusat untuk selesaikan. Menjelang akhir Februari, kami akan selesai (bahagi kerusi kepada semua negeri),” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp.
Mujahid yang merupakan ketua Amanah Pulau Pinang dan salah seorang daripada empat timbalan pengerusi PH negeri berkata demikian apabila ditanya bilakah dia menjangkakan kepimpinan pusat PH menyelesaikan rundingan bahagi 40 kerusi negeri Pulau Pinang.
Pada Ahad, Pengerusi PH Negeri Lim Guan Eng berkata kepimpinan tertinggi PH akan meneruskan perbincangan bahagi kerusi Pulau Pinang.
DAP yang menerajui kerajaan Pulau Pinang memegang 19 kerusi negeri dan akan mempertahankannya dalam pilihan raya umum akan datang. PKR pula pegang 10 kerusi, PAS pula hanya satu.
PKR akan mempertahankan semua kerusinya di negeri itu, manakala kerusi dipegang PAS, Permatang Pasir akan ditandingi Amanah.
10 lagi kerusi kawasan majoriti Melayu dipegang oleh Barisan Nasional menerusi Umno adalah kawasan bermasalah kerana ia diminta oleh Bersatu, Amanah dan PKR.