Pas mesra Umno, bekas ketua penghulu sertai Amanah
Mantan Ketua Penghulu bagi penghulu lantikan kerajaan negeri bagi Dun Pasir Tumboh, Mohd Hanafi Mat Amin membuat kejutan besar apabila membuat pengisytiharan keluar Pas dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) di majlis pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Jumaat lalu.
Beliau yang dikenali ramai sebagai Tok Ngulu Pi merupakan seorang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun Pas Pasir Tumboh.
“Sebagai ketua sekelian penghulu di Dun ini tentulah beliau mampu memberi sumbangan bermakna kepada AMANAH dan PH,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Dalam ucapan ringkas selepas menyerahkan borang AMANAH beliau mengaku telah lama berminat dengan parti baru bernama AMANAH kerana hala tuju perjuangannya yang jelas.
“Parti ini amat jelas hala tujunya untuk kekal dengan perjuangan asal kita untuk menentang kezaliman Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Agak pelik apabila parti lama saya begitu mesra dan tidak lagi seperti dulu bila berhadapan dengan parti pemerintah yang dulu kita tentang habis-habisan,” katanya.
Majlis yang bermula sejak jam 2 petang itu mengadakan program jamuan laksa bagi mengutip derma bagi mengisi tabung derma pilihan raya bagi Dun berkenaan.
Setiausaha Dun PH Pasir Tumboh, Abdullah Zawawi Wahab berkata, kehadiran amat memuaskan kerana semua anggota empat parti hadir memberi sumbangan masing-masing.
“Saya perhatikan orang Pas pun ada yang datang dan menderma,” katanya.
Hadirin katanya, turut dihiburkan oleh kumpulan dikir barat yang diundang khas kelolaan kelolaan pemuda Bersatu.
“Bagi pihak penganjur kami amat berbesar hati atas kehadiran begitu ramai pimpinan semua parti dari kawasan Kubang Kerian dan luar Kubang kerian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Undang-undang PH Kelantan, Hisham Fauzi yang merasmikan pelancaran itu berkata dalam ucapannya supaya semua unit gerak kerja pilihan raya digerakkan ke tahap maksimum seberapa segera.
“Kini kita telah memasuki pusingan akhir untuk berlawan jadi tiada apa lagi yang patut ditangguhkan.
“Kita patut menjadikan gerak kerja Dun ini yang telah bersiap begini rupa seolah-olah pilihan raya akan berlaku minggu depan,” katanya.
Pada majlis itu semua petugas PH yang dilantik disampaikan watikah, manakala semua 12 ketua pusat daerah mengundi (PDM) menerima bendera parti-parti dalam PH sebagai simbol bermulanya kerja-kerja akhir menghadapi pilihan raya