Hasrat Pas untuk mewujudkan dua barisan kabinet yang berbeza dalam pentadbiran kerajaan, satu untuk Islam dan satu lagi untuk bukan Islam, bukan saja tidak praktikal dan akan mewujudkan lebih banyak pemisahan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, bahkan juga menunjukkan "nafsu besar" Hadi Awang dalam membelanjakan wang negara.
Melalui dua barisan kabinet itu, jumlah barisan menteri Hadi nanti sudah tentu jauh lebih besar daripada yang ada sekarang.
Jika anggota kabinet Najib Razak seramai 35 yang ada sekarang pun sudah dianggap terbesar dalam dunia berdasarkan jumlah penduduk Malaysia hanya 31 juta orang, dua barisan kabinet impian Hadi itu sudah tentu mencakupi jumlah seramai antara 40 atau 50 orang jumlahnya.
Berapakah wang negara yang perlu dihabiskan untuk membayar gaji serta elaun menteri-menteri seramai itu?
Termasuk dengan kakitangan, kemudahan pejabat dan lain-lainnya, tidakkah ini menunjukkan Hadi ingin membazir dan lebih memboros berbanding Najib yang sudah sedia boros?
Selain itu, dua barisan kabinet yang dibayangkan Hadi itu juga tidak mungkin menghasilkan suatu keputusan yang terbaik untuk negara, sebaliknya akan menjarakkan lagi jurang pemisahan antara kaum dan agama.
Sudah tentu kabinet itu akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan masing-masing dan akhirnya mereka bertelagah sesama sendiri dalam banyak perkara.
Apa jadi kepada perpaduan kaum dan agama akhirnya?
Yang lebih meragukan, berdasarkan perwatakan Hadi yang lemah, tidak teguh dan sering berubah-ubah, mampukah beliau mendamaikan kabinet Islam dan bukan Islam itu jika kerap berlaku perbalahan dan perbezaan pendapat?
Apa pun, jika dengan bertanding 130 kerusi saja Pas sudah ada angan-angan untuk membentuk sebuah kerajaan sendiri dan ia dianggap angan-angan Mat Jenin, mewujudkan dua barisan kabinet menunjukkan betapa lebih jauh "Mat Jeninnya" Hadi dalam percaturan politiknya sejak kebelakangan ini.
Apa sebenarnya yang dikejar Hadi?
Kenapa banyak sangat berangan-angan seperti Mat Jenin?
Bukankah yang paling realistik bagi Pas ketika ini ialah terus berdakap erat dengan Najib, UMNO dan BN? (ShahbudinHusin 05/02/2018