DOA UNTUK RAFIZI




KEPUTUSAN KES NFC: RABU, 7 FEBRUARI 2018

Esok, Hakim Zamri Bakar akan membacakan keputusan perbicaraan dakwaan di bawah Akta Bank & Institusi Kewangan (BAFIA) yang menuduh saya dan Johari Mohamad (bekas kerani Public Bank) membocorkan maklumat kewangan ahli keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan beberapa syarikat milik mereka.

Hukuman maksima di bawah akta ialah penjara 3 tahun, atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Jika dijatuhkan hukuman bersalah (cenderung ke arah itu), ada beberapa kemungkinan hukuman yang dijatuhkan:

1) Penjara (lebih setahun) tetapi dibenarkan “stay of execution” dan tidak berjalan sehingga selesai proses rayuan 

2) Penjara (lebih setahun) dan tidak dibenarkan “stay of execution”, maka hukuman penjara berjalan serta-merta esok

3) Penjara (lebih setahun) dan denda (mungkin RM300,000 ke atas). Hukuman penjara dibenarkan “stay of execution”, tetapi denda perlu dibayar serta-merta. Jika saya gagal membayar denda esok, saya akan dipenjarakan dahulu sehinggalah saya membayar denda tersebut

Ada juga kemungkinan saya didapati tidak bersalah tetapi melihat perjalanan perbicaraan, naluri saya merasakan itu tidak akan berlaku. Ada juga kemungkinan hukuman penjara atau denda yang dikenakan adalah jauh lebih ringan, namun melihat perjalanan perbicaraan: saya tidak optimistik.

Ramai yang bertanya mahkamah mana dan pukul berapa.

Keputusan akan dibacakan oleh Hakim Zamri Bakar sekitar jam 930 pagi esok (Rabu, 7 Februari 2018) di Mahkamah Sesyen (Jenayah 3), Tingkat 8, Kompleks Mahkamah Shah Alam. 

Jika ada kelapangan malam ini, saya mohon sahabat-sahabat mendoakan Allah beri perlindungan kepada saya dan memudahkan urusan saya esok.

“Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang”

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan.