Mahu menang bersama Dr Mahathir, atau tewas di tangan Najib?



Perjuangan ibarat mendaki anak tangga yang tinggi. Kalau tidak mahu bergerak maju ke depan, anda menghalang orang lain yang turut sama mendaki.
Sebaiknya beralihlah ke tepi, beri jalan untuk orang lain yang sedang pantas menuju destinasi, jika tidak mahu dihumban beramai-ramai ke bawah tangga.
Ini analogi mudah untuk sekian ramai yang menggigil dan mengelupur apabila Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sekiranya dan apabila kerajaan Umno berjaya ditewaskan dalam pilihan raya umum yang khabarnya kurang seratus hari sahaja lagi.
Selepas satu minggu pengumuman itu dibuat, gerombolan yang tidak bersetuju masih lagi gigih melayan naratif dan agenda Barisan Nasional untuk mengekalkan Dr Mahathir dalam konteks sejarah lampaunya, ketimbang meletakkan Dr Mahathir dalam konteks semasa sebagai ketua turus pakatan parti-parti DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Malah, gerombolan yang sama juga masih tidak menamakan siapa yang mereka mahu sebagai calon PM apabila Umno-Barisan Nasional (BN) sudah angkat bungkus dan berambus dari Putrajaya.
Barangkali gerombolan ini memang tidak ada cita-cita untuk menang pilihan raya dan mengambil alih kerajaan. Barangkali mereka hanya mahu jadi parti pembangkang sampai bila-bila.
Bukanlah saya mengatakan keputusan untuk kekal sebagai pembangkang itu salah. Jika itu keputusannya, baguslah. Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, memang sepatutnya wujud pembangkang yang berfungsi apabila PH mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Umno tidak pandai jadi pembangkang.
Memandang ke depan
Ketika Dr Mahathir mengetuai Deklarasi Rakyat, yang ditandatangani bersama oleh sekian ramai musuhnya termasuk yang pernah disumbatnya ke Kamunting beberapa kali; kita sepatutnya sudah boleh faham bahawa Dr Mahathir sudah murtad daripada perjuangan Umno yang dibinanya selama puluhan tahun.
“Dia macam ni lah ya. Bayangkan Pope masuk Islam. Haa macam tu lah,” kata saya kepada seorang teman, dalam usaha memahamkan betapa besarnya nilai seorang pemimpin yang berpaling daripada pasukan asalnya dalam konteks politik Malaysia.
Itulah yang selalu kita raikan apabila hampir musim pilihan raya sebelum ini. Apabila ada orang yang keluar parti dia dan masuk parti kita, maka kita buat sidang media; bahkan ada kenduri-kendara meraikan kemasukan dia ke dalam parti kita. Parti asalnya pula akan lepas maki berbakul-bakul, menuduhnya pengkhianat, gunting dalam laci, udang di sebalik kuehtiau dan sebagainya.
Kemasukan Mahathir ke barisan parti-parti pembangkang bukan sahaja setakat mengabsahkan perjuangan parti-parti pembangkang selama ini, bahkan ia turut memberi nilai tambah yang selama ini tidak dimiliki pakatan tersebut.
“Koalisi (pakatan) ertinya melakukan sesuatu yang kita tidak suka,” ujar Dr Mahathir di sebuah perjumpaan tertutup bersama pimpinan DAP di pemukiman parti itu hujung minggu lalu.
Termasuklah barangkali menerima keputusan bahawa Dr Mahathirlah yang paling sekufu untuk mengepalai batalion mendepani rejim pimpinan suami Rosmah Mansor.
Dr Mahathir malah menerangkan dalam ucapan itu, bagaimana pembangkang tidak boleh menang pilihan raya sepanjang beliau menjadi perdana menteri. Ini termasuklah tiadanya kesepakatan dan tiadanya kepimpinan yang jelas.
Menurutnya parti-parti pembangkang hanya bersatu apabila Tengku Razaleigh mengepalai Angkatan Perpaduan Ummah, dan kemudiannya Anwar Ibrahim mengetuai Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini PH yang menampilkan Dr Mahathir sendiri sebagai pengerusinya sementara Anwar berehat.
Ironinya ialah, kesemua pemimpin koalisi pembangkang ini adalah bekas pimpinan BN.
Kita mesti menang
Jadi sekarang ceritanya begini. Malaysia memang tidak ada pilihan. Tetapi pilihannya bukan antara Dr Mahathir dan Najib Razak.
Pilihan yang ada di tangan rakyat Malaysia ialah antara menang dan memaksa perubahan, atau kalah dan terus dilenjan untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi.
Sepertimana kita tidak ada pilihan, sama juga halnya dengan BN. Ia juga tidak ada pilihan lagi selain mengekalkan kemenangan dengan apa jua cara yang ia mampu, termasuklah dengan cara menipu.
Lihat sahaja pembentangan Institut Darul Ehsan minggu lalu tentang bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak melukis semula peta kawasan dengan memindah dan menukar pengundi dari satu daerah mengundi ke daerah mengundi yang lain sehinggakan beberapa kawasan kelihatan seperti kuih keria putus.
Lihat juga bagaimana pentadbiran Najib akan cuba memujuk undi rakyat jelata dengan tawaran-tawaran yang hampir sama sebiji dengan tawaran PH yang selama ini mereka sampahkan.
Bila menang pilihan raya nanti, semua tawaran itu akan dilupakan, dan dasar-dasar baru akan diperkenalkan untuk menampung semua ketirisan.
Jangan kita lupa, cukai GST pun tidak pernah ada dalam manifesto BN.
Maka pilihannya mudah sahaja. Tidak ada lain, kita mesti menang. Rakyat mesti menang. Dan kalau kemenangan itu diusung mantan diktator tua, si mahafiraun yang kita benci; apakah kita akan menangguhkan kemenangan sekali lagi, dan membiarkan rejim terus ketawa untuk seribu tahun lagi?