Kempen #UndiRosak dikritik hebat
Kempen #UndiRosak di media sosial yang menggalakkan pengundi merosakkan undi mereka sebagai satu bentuk bantahan terhadap kedua-duanya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), menjadi topik hangat di Twitter di mana kritikan terhadapnya mengatasi mereka yang menyokong.
Penyelidik media sosial Politweet.org berkata minat terhadap #UndiRosak dalam kalangan rakyat Malaysia tinggi, berdasarkan kepada tweet yang menunjukkan topik itu menjadi trending di pantai barat semenanjung dan wilayah tengah.
“Minat orang ramai terhadap #UndiRosak sedang tersebar, walaupun kami belum lagi mengukur sokongan bagi gerakan itu. Peta menunjukkan lokasi pengguna yang tweet mengenainya,” kata Politweet.org.
Selebriti seperti Daphne Iking dan Nur Fathia Latiff antara individu berprofil tinggi yang mula membincangkan perkara itu, mendesak pengikut mereka supaya membuat pilihan dengan bijak.
Iking, seorang pengacara dan model tweet semula satu mesej yang menggesa pengundi memilih pihak yang kurang jahat walaupun jika mereka tidak gembira dengan kedua-duanya, BN dan PH.
“Orang bertanya saya ‘bagaimana anda tahu siapa yang kurang jahat?’ Mula dengan mengenali calon MP dan Adun nanti bila diumumkan. Kena rajinlah sikit bukan penyelidikan. Jika dia MP/Adun sedia ada, dia buat kerja tak selama ini? Kalau tak? Bye2. Macam tu,” katanya dalam satu tweet lain.
Fathia yang juga pelakon turut mendesak pengikutnya membuat pilihan.
“#UndiRosak tak payah nak merosakkan Undi. Pilih pakatan harapan je dengan penuh harapan. Undi anda, pilihan anda,” katanya di Twitter.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut terpanggil mengeluarkan kenyataan mengingatkan pengundi untuk menghargai hak mereka untuk mengundi.
“Mereka perlu ingat mengundi adalah peluang sangat berharga dan hak termaktub oleh Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya digunakan setiap pengundi,” kata pengerusinya Mohd Hashim Abdullah.
Kebanyakan pengguna Twitter yang memuat naik dengan hashtag #UndiRosak melahirkan pandangan mengkritik kempen itu.
Penyampai radio Eza Zaid berkata dia “tidak faham” perbahasan itu.
“Rajin betul hendak buat benda yang tidak berfaedah,” kata pengguna Twitter @Inbaraj berkenaan tindakan mereka yang sanggup bangun awal untuk ke pusat mengundi, tetapi hanya untuk merosakkan undi saja.
“Anda tunggu lima tahun untuk pilihan raya dan anda pilih #UndiRosak?,” kata @Izaan.
Pengguna Twitter lain berkata kempen itu merosakkan demokrasi dan akan menyebabkan akibat yang tidak sepatutnya.
Ada juga menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, keanak-anakan dan langkah yang menyebabkan suara anda hilang.
Seorang pengguna Fikri Hasim berkata merosakkan undi adalah tindakan paling sesuai bila tersekat dengan dua diktator rasuah.
Tweet itu mencetuskan perbahasan panjang dengan beberapa pengguna Twitter lain di mana dia melahirkan rasa tidak suka terhadap Perdana Menteri Najib Razak dan calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri yang kini menerajui PH adalah faktor utama dalam kempen #UndiRosak kerana pentadbiran masa silamnya yang autoritarian.
Dr Mahathir menyifatkan kempen #UndiRosak itu sebagai singkat akal dan mendakwa Umno menjadi dalang dalam mensabotaj PH.
Bagaimanapun, ia sebenarnya bermula secara tidak rasmi, dianjurkan oleh sekumpulan aktivis muda yang lantang, pada September lalu