HARAM UNDI DAP : MUFTI DISARAN KELUARKAN FATWA


 
Mufti-mufti di negara ini disarankan supaya mengeluarkan fatwa berhubung hukum bagi umat Islam mengundi, menyokong dan membantu DAP yang membawa agenda perjuangan sekularisme serta anti Islam.
Felo Kanan Institiut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali, berkata seharusnya pihak berautoriti mengeluarkan fatwa yang menepati undang- undang Islam.
Beliau berkata, fatwa daripada para mufti amat penting bagi memastikan tidak berlaku kecelaruan dan kacau bilau dalam masyarakat kerana umat Islam perlu hormat dan memperakui fatwa dikeluarkan.
“Saya menyeru agar ‘Ashaabus Samaahah’ para mufti dibekalkan fakta-fakta dan data yang mencukupi agar mereka boleh mengeluarkan suatu fatwa yang menepati undang-undang Islam lebih-lebih lagi ianya tidak semestinya melibatkan parti DAP sahaja, tetapi bakal melibatkan aktiviti mengundi, menyokong dan membantu mana-mana individu atau parti-parti politik lain yang berhasrat menggunakan undi, sokongan dan bantuan yang diberikan kepada mereka bagi tujuan-tujuan yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam.
“Fatwa daripada para mufti sangat penting kerana bukan semua orang, hatta para ilmuan dan pakar agama berada pada posisi boleh mengeluarkan pendapat yang boleh diangkat sebagai fatwa.
“Oleh kerana perbuatan mengundi, menyokong dan membantu DAP juga menimbulkan isu pelanggaran undang-undang, termasuk isu membantu atau mendiamkan kesalahan-kesalahan jenayah, maka saya menyeru agar pihak polis dan Jabatan Peguam Negara dapat membuat siasatan dan penilaian terpeinci lebih-lebih lagi berkaitan desas-desus yang mengaitkan antara parti tersebut atau aktivis DAP dengan RECS (Radical Evangelist Christian State).
“Di dalam Kertas Laporan Tragedi berdarah 13hb Mei 1969 yang dikeluarkan oleh MAGERAN, tindakan2 berbentuk hasutan yang dilakukan oleh parti DAP telah dikenalpasti sebagai salah satu punca utama tragedi rusuhan kaum yang kita harap tidak perlu berulang lagi di negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia ini,” katanya dalam satu tulisan sebagai respon terhadap kenyataan Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari yang mengharamkan umat Islam mengundi DAP.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) itu Sabtu lalu, dalam satu wawancara eksklusif ‘Sembang Watan-Online’ menyifatkan haram bagi umat Islam, menyokong, membantu dan mengundi DAP yang jelas anti Islam.
Sementara itu, Engku Ahmad Fadzil yang juga pendakwah bebas meminta pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap salah laku DAP yang bertentangan perundangan negara, serta Majlis Fatwa dapat menganalisa isu berkenaan dari sudut hukum agama.

oleh Haspaizi Mohd Zain