Meletakkan masa depan negara di tangan mereka yang tidak peduli





Image result for spr

Pembentangan Merdeka Center tempoh hari tentang angka bilangan anak muda yang tidak sedikit pun peduli untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, sebenarnya tidak begitu memeranjatkan.
Anak muda Malaysia sememangnya sudah biasa membiarkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka. Dimanja dan dibesarkan dengan teknologi di tangan dan makanan disuap ke mulut, kita tidak perlu hairan.
Kita sepatutnya sedar bahawa kitalah yang telah meletakkan masa depan negara di tangan generasi yang tidak peduli.
Terbaru muncul beberapa pihak yang mengajukan usaha supaya tidak keluar mengundi pada pilihanraya umum akan datang. Dan kalau pun keluar mengundi, harusnya dirosakkan sahaja undi itu sebagai tanda protes.
Kata mereka undi nan satu itu tidak akan merubah apa-apa. Malah undi yang demikian banyak sehingga gabungan Pakatan Rakyat meraih 51% undi popular pada 5 Mei 2013 pun tidak membawa kesan.
Lebih baiklah merajuk dan marah-marah dengan keadaan, menendang-nendang sambil berteriak seperti bayi kehilangan botol susu, supaya semua orang memandang mereka dan bertanya khabar dan kemudian diberi segala yang dimahu.
Malangnya realiti politik Malaysia tidak semudah itu. Tidak semudah bayi menangis-nangis minta susu.
Kelas membebel
Di antara lapis-lapis kelas elit, borjuis dan proletariat itu sebenarnya ada satu lagi kelas yang disebut Hishamuddin Rais sebagai kelas membebel. ‘The chattering class’ katanya. Kasta masyarakat yang hidup berbekalkan kopi dan air liur. Banyak cakapnya, kurang kerja buatnya.
Kelas pemalas yang akan mengambil jalan mudah untuk duduk di rumah dan membiarkan orang lain berpartisipasi mencatur masa depannya yang sudah malas diambil peduli.
Kelas masyarakat spesis ini kini adalah majoriti. Mereka lahir daripada rahim kebangkitan media sosial dan internet laju; di mana hari demi hari boleh dihabiskan dengan menonton video kucing berlari-lari sambil membebel sesama sendiri.
Menyerahkan hak memilih adalah jalan mudah. Sebab ya lah, menyerah sebelum kalah. Meletakkan senapang sebelum berjuang. Bukankah mudah?
Ia bukan aksi melawan. Bukan aksi menunjukkan kekuatan atau menggunakan ‘hak untuk tidak memilih’. Tidak memilih ertinya menyerah. Ertinya merelakan diri dilenjan daulah tanpa mengangkat walaupun sebatang jari.
GST, korupsi, bertuankan kerajaan sarat kleptokrasi? Na’am, na’am ya sidi. Kemudian membebel berjemaah. Pahala berganda barangkali.
Menyedari hakikat
Akar kepada permasalahan ini sebenarnya bukanlah kebodohan, seperti yang kita semua sangkakan. Masalahnya juga bukan sebenarnya kelelahan. Meski kita nyata melihat begitu ramai aktivis dan anggota kelas membebel ini sebenarnya letih dan lesu dengan segala yang sedang terjadi.
Akar kepada masalah malas ambil tahu dan tidak peduli ini ialah kegagalan kita untuk memahami hakikat pergelutan puluhan tahun melawan United Malays National Organisation.
Pokok pangkal kepada masalah ini ialah tumpuan kita yang mudah dialih-alih. Dan tengkuk kita yang cepat geli dengan hal-hal yang melalaikan daripada tunjang utama perjuangan.
Seharusnya kita tidak boleh gagal daripada memahami bahawa setiap pilihanraya adalah upaya masyarakat untuk melawan rejim. Sebuah rejim yang sudah berkuasa selama 60 tahun tanpa sekali pun pernah ditewaskan.
Kita semua tidak mengundi untuk menghantar siapa-siapa ke Putrajaya. Kalau mahu ke Putrajaya, menyelinap sahaja masuk UMNO, masuklah kerajaan dan bisikkan dasar-dasar serta pembaharuan ke telinga mereka yang melilau di koridor kuasa. Mudah.
Kalau pun tak ada manifesto di pihak parti-parti lawan UMNO, perlawanannya tetap bertujuan untuk mencabut parti pemerintah itu daripada takhta kekuasaan.
Dasar dan tawaran baru sebagai langkah memulihkan negara itu kira bonus. Apa yang asas ialah mengalih kedudukan UMNO sebagai parti politik paling lama berkuasa sehingga merasakan dirinya tuan dan empunya kita semua, menjadi hamba dan pesuruh yang akan harus merayu-rayu untuk kembali diberikan kerja.
Itu dia hakikatnya.
Kita mesti menang
Pilihanraya umum yang bakal menjelang tiba adalah penentu kepada nasib negara untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi. Sekiranya UMNO dibiarkan untuk terus menang dan berkuasa, tidak akan ada lagi ruang untuk melawan ataupun bersuara.
Kemenangan UMNO pada pilihanraya kali ini, akan mempertingkatkan egonya setinggi langit dan membuatnya rasa hebat dan langsung tidak tercabar. Kenyataan terbaru Perdana Menteri Najib Razak menempelak rakyat yang ‘bising’ kerana dikenakan cukai GST 6% adalah petanda bahawa ia boleh sahaja dinaikkan sekiranya UMNO merasakan mereka diberi mandat lanjutan.
Kemenangan UMNO akan membawa erti sokongan terhadap dasar-dasarnya yang hari ini menjerut leher kita semua.
Kita tidak ada pilihan, kita mesti menang. Rakyat mesti menewaskan rejim ini. Kalau pun anda merasakan BN dan Pakatan Harapan itu sama sahaja, saya ada khabar untuk anda. Itu bukan pilihannya.
Pilihannya ialah sama ada membiarkan Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya terus merajalela. Atau menunjukkan mereka pintu keluar dari istana Putrajaya. Itu sahaja.
Kalau itu pun anda tidak peduli. Anda sememangnya berhak untuk dilenjan oleh parti pemerintah setiap hari. Padan muka anda.

Krisis ekonomi bukan dongeng, berhenti salahkan rakyat



JOHOR BAHRU, 29 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil pendekatan yang angkuh dan sombong dalam menangani kritikan terhadap masalah ekonomi negara.
Menurut Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengakui bahawa negara sedang mengalami krisis ekonomi.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO-BN menyalahkan rakyat dengan menuduh mereka tidak melakukan usaha yang cukup bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Ia berbeza, katanya, sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui bahawa negara mengalami krisis ekonomi pada 1985 dan 1997 dan berusaha mengatasinya.
“Bila menyentuh bab ekonomi, kerajaan Najib Razak dilihat angkuh dan sombong.
“Kerajaan Najib Razak tidak faham kehidupan rakyat biasa dan tidak bersedia untuk mengakui bahawa Najibnomics tidak berupaya untuk memenuhi kehendak rakyat Malaysia.
“Apabila kebimbangan itu dibangkitkan, jawapan mereka adalah dengan menyalahkan mangsa yang mengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah dilaporkan media, semalam, berkata bahawa tidak ada sebab rakyat Malaysia boleh menjadi miskin di negara ini.
Beliau turut memberi contoh rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini bagi memberi gambaran bahawa sesiapa pun boleh membina kehidupan di Malaysia jika berusaha.
“Chow Kit tau? Kalau pergi Chow Kit dulu, orang kita (tempatan) yang berniaga, sekarang separuh daripada peniaga di Chow Kit itu orang Indonesia.
“Kalau orang Indonesia boleh hidup di Malaysia, (sepatutnya) orang Malaysia lebih maju,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, negara sedang mengalami ‘krisis senyap’ ekonomi, namun pentadbiran Najib tidak mahu mengakuinya.
“Sebaliknya, kerajaan membebel dengan pujian atau menyalahkan mangsa seperti yang dibuat Irwan sedangkan rakyat biasa kini sedang sengsara,” ujarnya.
Rakyat Malaysia, katanya, dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), penyusutan nilai ringgit sebanyak 30% sejak Oktober 2014 dan pemotongan subsidi.
“Semua ini berlaku ketika gaji tidak meningkat kerana kerajaan tidak ada usaha untuk mengurangkan kemasukkan tenaga buruh asing dan meningkatkan teknologinya,” ujarnya.
Malah, katanya, jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara seperti di Singapura, United Kingdom dan Australia dalam sektor 3D (kotor, sukar dan berbahaya) meningkat.
Tiga negara tersebut mempunyai pendapatan perkapita yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
Sehubungan itu, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kerajaan harus mengakui bahawa negara sedang mengalami krisis ekonomi, sebelum mencari jalan bagi mengatasinya.
“Kerajaan UMNO-BN mesti berhenti menyalahkan mangsa dan memperolok-olokkan kesengsaraan rakyat Malaysia.
“Najibnomics jelas tidak mengendahkan rakyat biasa,” tegasnya

SIAPA PEMIMPIN PAS YANG TERLIBAT DALAM PERNIAGAAN KOSMETIK?



Dalam tulisan terbaru oleh Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin di blognya yang melontarkan enam persoalan kepada sesiapa yang ada jawapan, salah satu pertanyaan beliau adalah berbunyi “Apakah benar duit yang KONONNYA dibagi oleh Najib/Umno kepada Pas digunakan untuk berniaga (antaranya kosmatik) tetapi rugi?

Pertanyaan beliau itu tentu saja menimbulkan seribu persoalan, termasuk antaranya siapakah pemimpin Pas atau isteri atau kroni atau proksinya yang berniaga kosmetik  dan rugi itu?

Di waktu yang sama, lontaran pertanyaan itu juga akan segera mengingatkan kita mengenai saman berkaitan dana RM90 juta yang didakwa pernah diterima Pas itu.

Berikutan Sarawak Report yang mula-mula mendedahkan berhubung wang RM90 juta yang didakwa diterima Pas daripada Najib Razak, setelah sekian lama bertangguh, Pas akhirnya mengemukakan samannya terhadap portal tersebut di London.

Tetapi, susulan daripada itu, Husam Musa juga kemudiannya membuat pendedahan yang hampir sama kepada Pas, malah dengan terang-terang menyebut nama bank yang dikaitkan dengan dana yang didakwa diterimanya.

Meskipun pada mulanya Pas menyatakan akan mengemukakan saman terhadap Husam, malangnya sehingga sekarang masih tiada sebarang khabar berita mengenainya.

Apa jadi sebenarnya berkenaan saman tersebut dan kenapa ia terus senyap dan sunyi?

Jika saman boleh dibuat di London kepada Sarawak Report, kenapa Pas tidak berani menyaman Husam di negara sendiri?

Selain Husam yang pernah mendakwa Pas pernah menerima wang daripada UMNO atau Najib, seorang lain pemimpin Pakatan Harapan yang turut berbuat demikian ialah Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan.

Dalam pendedahannya, beliau secara terbuka menamakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa sebagai individu yang pernah menerima sejumlah wang berkaitan 1MDB daripada Najib yang dipercayainya untuk diberikan kepada Pas.

Selepas pendedahan itu dan mencabar Nasharuddin agar berani membuat akuan bersumpah menafikannya, bekas Timbalan Presiden Pas itu juga menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi.

Namun demikian, sama seperti Pas yang mengancam mahu menyaman Husam, tetapi tidak menjadi kenyataan sehingga kini, ugutan saman Nasharuddin  kepada Rafizi masih lagi senyap tidak berbunyi apa-apa hinggalah detik ini.

Kiranya dakwaan Rafizi itu didapati tidak benar dan berupa fitnah, mengapakah Nasharuddin masih keberatan untuk mengambil tindakan undang-undang?

Pas mengancam mahu menyaman Husam pada Februari 2017, manakala Nasharuddin pula mengugut Rafizi pada April lalu, bermakna sudah beberapa bulan masa berlalu, tetapi janji masih lagi tinggal janji.

Pertanyaan terbaru A Kadir Jasin tidak lain menimbulkan persoalan, apakah beliau sebenarnya ada maklumat baru mengenai wang yang menjadi perbualan ramai yang dikatakan pernah diterima Pas itu?

Adakah kali ini Pas mahu berdiam diri lagi, walhal rasanya tidak ramai pemimpin Pas atau sesiapa yang ada kaitan rapat dengan mana-mana pemimpin Pas yang berniaga kosmetik ketika ini? 

Selain bisnes kosmetik, apakah mungkin macam-macam perkara lain akan terdedah lagi selepas ini? (ShahbudinHusin 29/09/2017)

MAT SABU YAKIN MENANG BERTANDING DI SELANGOR, PAHANG

PAS HILANG 15% UNDI MELAYU, 80% UNDI CINA DI SELANGOR – DAP

‘PERJANJIAN BAHARU’ UNTUK MALAYSIA TIMUR DIJANGKA DAPAT SAMBUTAN