Tubuh Sekretariat PH Selangor jika Azmin ikhlas – GAH
Gerakan Aktivis Harapan (GAH) melihat pengumuman Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali akur kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menolak sebarang kerjasama dengan Pas sebagai melepaskan batuk di tangga.
Menurut jurucakapnya, Zanirun Baba, sekiranya Azmin benar-benar ikhlas dan bersunguh-sungguh mahu mengotakan janjinya memperkukuhkan jentera pilihan raya PH maka terdapat beberapa perkara yang beliau harus lakukan di Selangor bersesuaian dengan jawatannya sebagai pengerusi PH negeri.
“Jika benar Azmin mahu meletakkan komitmen terbarunya untuk memacu kekuatan PH, membentuk jentera PRU yang kukuh dan akur dengan PH untuk menolak PAS maka GAH mencabar Azmin menzahirkan tindakannya itu.
“Azmin harus membentuk Sekretariat PH di Selangor sesegera mungkin dan menolak dominiasi parti di dalam mana-mana posisi serta mengamalkan prinsip kesamarataan antara parti komponen PH
“Azmin juga perlu memecat exco Pas daripada kerajaan Selangor dan memaklumkan kepada pimpinan lain yang menyokongnya (kartel) untuk menolak lantikan politik dalam kerajaan Kelantan.
“Tanpa tindakan seperti itu, kenyataannya hanyalah auta dan sandiwara sahaja, yang tidak bersandarkan kepada kesungguhan dan realiti,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Selain itu, GAH juga menyokong pemimpin dan ahli akar umbi PKR yang mencadangkan dipanggil kongres khas atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menentukan sama ada cara Azmin menangani isu rundingan dengan Pas diterima atau tidak.
“Dalam kenyataan yang sama (akur PH tolak Pas) Azmin masih mengungkapkan untuk berkerjasama sehingga menjelang PRU14: “Namun, saya masih boleh bercakap dengan sesiapa pun (perbincangan muafakat) ke arah itu,” katanya di petik daripada portal SelangorKini.
“Oleh itu, sepatutnya Azmin harus berdepan dengan ahli di EGM tersebut, kerana dia sering mengungkit tentang keputusan parti (rundingan dengan Pas).
“Dalam hal ini Azmin mungkin tidak mampu membawa hujah jitu menjawab sikapnya terhadap PAS dalam kongres khas itu dan kredibiliti serta popularitinya akan rosak sekiranya kongres tidak memihak kepadanya,” kata beliau lagi.
Kenyataan itu juga menyebut sekiranya Azmin tidak bertindak memperbaiki keadaan maka berhak untuk semua pihak menperlecehkannya dan menolaknya dalam PRU nanti.
Kenyataan tersebut turut ditandatangani oleh Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan Dr Maniam.