Kerajaan kutip cukai lebih daripada sepatutnya – Rafizi
Naib presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mendakwa LHDN secara tidak adil menyasarkan penyokong pembangkang dan orang mati. Beliau percaya ada bukti menyokong dakwaannya.
Rafizi berkata kutipan cukai pendapatan tumbuh secara tidak seimbang berbanding pertumbuhan ekonomi sejak Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan perdana menteri pada 2009.
Daripada RM60.3 bilion pada 2010 kutipan dijangka mencecah RM112.3 bilion pada 2017, menurut data yang diperoleh daripada Perbendaharaan.
“Kadar pertumbuhan tahunan longgokan (CAGR) dari 2010 hingga 2017 ialah 11%,” kata Rafizi pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Purata pertumbuhan ekonomi hanya 5%, tambahnya.
“Itu bermakna rakyat tidak merasai kenaikan gaji, dan perniagaan tidak membuat keuntungan. Jadi, kamu mengenakan cukai lebih daripada sepatutnya.
“Itu bermakna kenaikan kutipan cukai kerana LHDN menjalankan audit secara agresif ke atas perniagaan yang ada kaitan dengan Pakatan Harapan dan mengutip cukai dari orang mati,” katanya.
Sosial media juga melaporkan kes LHDN menghantar notis kepada orang mati, tambahnya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata ketika Najib mewajarkan keperluan melaksanakan GST, beliau memberi alasan hasil kerajaan yang rendah.
Menurut perdana menteri, rakyat Malaysia tidak membayar cukai pendapatan, kata Rafizi.
“Tetapi kutipan cukai pendapatan meningkat sejak 7 tahun kebelakangan ini.”
Najib juga berjanji kadar cukai pendapatan akan dikurangkan selepas pelaksanaan GST, namun kata Rafizi janji itu antara janji yang gagal ditepati.
LDHN semalam berkata kumpulan profesional akan menjadi sasaran seterusnya dalam operasi audit akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata operasi yang akan bermula pada September atau Oktober akan menumpukan kepada golongan profesional seperti peguam, arkitek, jurutera dan doktor.