PERLANTIKAN HISHAM LEBIH MEMBUKTIKAN NAJIB GUSAR HADAPI PILIHANRAYA



Semalam Najib Razak menzahirkan keyakinan bahawa UMNO dan BN mampu memenangi pilihanraya umum akan datang dan memperolehi mandat baru daripada rakyat, tidak kira sama pilihanraya diadakan tahun ini atau tahun depan.

Kata beliau, "tahun ini boleh menang, tahun depan pun boleh menang."

Sehubungan itu, Najib turut mengingatkan penggiat media sosial pro kerajaan agar segera berubah daripada sikap bertahan kepada menyerang.

Sudah-sudahlah bertahan, sekarang kita perlu menyerang, katanya di hadapan para penggiat media sosial yang dihadiahkan Samsung A9 setiap seorang.

Di ketika yang sama, Tun Mahathir Mohamad yang kini merupakan penasihat bersama Pakatan Harapan bersama Dr. Wan Azizah Wan Ismail, tetap juga yakin Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya umum akan datang.

Dengan rakyat dihadapkan pelbagai isu seperti 1MDB, Jho Low, kos sara hidup, GST, penarikan banyak subsidi, penguasaan Negara China dan banyak lagi, bekas Perdana Menteri itu berkata, "terlalu ramai yang tidak suka kepada kerajaan yang ada sekarang."

Dalam masa yang sama, ia dibuktikan lagi dengan sambutan rakyat terhadap program yang dihadiri Tun Mahathir yang terlihat amat luar biasa kehadirannya.

Tun Mahathir pula menghabiskan sekurang-kurangnya tiga atau empat hari seminggu untuk pergi ke luar ibukota, kampung-kampung dan kawasan Felda untuk meyakinkan tentang perlunya perubahan demi kebaikan rakyat seluruhnya.

Jadi, mana satu yang kita mahu percaya?

UMNO dan BN terus menang lagi atau Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Najib?

Sebenarnya tidak sukar menjangka kegusaran Najib menghadapi pilihanraya umum akan datang. Langkah terbaru beliau melantik sepupunya, Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri adalah petanda jelas ketidakyakinan untuk memenangi pilihanraya.

Kiranya beliau benar-benar yakin, tiada keperluan sama-sekali untuk memberi kedudukan istimewa kepada sepupunya, sebaliknya hanya perlu terus berusaha saja.

Ketika ini, Najib sedang menjelajah ke seluruh negara untuk meninjau keyakinan rakyat terhadapnya. Meskipun ramai yang menyambut ketibaannya, tetapi Najib juga tentu sedar sebahagian mereka dikerah dan diupah untuk menghadiri program-programnya.

Dengan itu, keaslian sokongan mereka atau atau sama ada kehadiran akan diterjemahkan dalam bentuk undi atau tidak, belum ada kepastiannya lagi.

Di Sabah pula, beliau dan Zahid Hamidi boleh dikata selang seminggu turun ke sana. Tidak pernah sekerap itu Sabah dikunjungi sebelum ini.

Apa petandanya?

Ia tidak lain memberi gambaran bahawa Sabah yang banyak menyumpang kerusi, selain Sarawak turut berada dalam bahaya. Ia juga bermakna, gempuran Shafie Apdal bersama Parti Warisan memang mendatangkan kesan yang nyata.

Perlantikan Hishammuddin, bersama kekerapan menjelajah ke seluruh negara, Najib kini mungkin sedang berkira-kira untuk menyelamatkan dirinya, walaupun ternampak tujuannya ialah untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya.

Jika dirasakan sokongan yang memadai tidak juga menjelma, Najib tidak mustahil akan meletakkan jawatan lebih awal iaitu sebelum pilihanraya dengan menamakan Hishammuddin sebagai penggantinya, sementara Zahid Hamidi kekal sebagai timbalan saja.

Kepercayaan untuk melakukan peralihan kuasa itu ialah untuk meletakkan rakyat lebih selesa membuat pertimbangan dengan hanya bersandarkan untuk mengundi BN berikutan perletakan jawatan Najib dengan sendirinya akan membuatkan isu seperti 1MDB dan Jho Low tersimpan di bawah karpet buat sementara waktu.

Mengapa Hishammuddin dipilih untuk menggantikannya ialah kerana sepupunya itu lebih dipercayai untuk melindunginya selepas keputusan pilihanraya berbanding Zahid Hamidi.

Sekiranya, keyakinan untuk menang itu masih ada, Najib lebih mungkin akan terus menghadapi pilihanraya akan datang, tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu bersedia jika keputusan buruk yang menjelma.

Kemenangan tipis BN dalam PRU 14 atau jika keputusannya lebih buruk berbanding pilihanraya 2013, boleh saja membuatkan Najib diasak untuk melepaskan jawatannya dalam pemilihan UMNO yang bakal diadakan selepas pilihanraya itu nanti.

Oleh kerana sudah dua kali pilihanraya beliau menyebabkan BN mencapai keputusan yang buruk, Najib tentunya tidak mampu bertahan lagi untuk terus berada di kerusi Perdana Menteri. Beliau tiada pilihan selain akur dengan kehendak akar umbi UMNO untuk mengundurkan diri.

Namun, jika ketika itu beliau terpaksa mengalah dan mengundurkan diri, sekali lagi Hishammuddin sudah pun berada di kedudukan "standby" untuk menjadi penggantinya.

Sama ada beliau mengundurkan diri sebelum  atau selepas pilihanraya, kepercayaan Najib untuk melindungi beliau dan keluarganya tetap pada Hishammuddin. 

Itulah sebabnya tiba-tiba saja sepupunya itu diberikan kedudukan yang istimewa dalam kerajaan seolah-olah Najib tidak mahu menunggu selepas PRU 14 untuk berbuat demikian. (ShahbudinHusin 16/04/2017).

DAP JOHOR SIAP SEDIA PERTANDINGAN 3 PENJURU

Menjamin kejayaan UMNO-PAS dengan modal agama




Puas kita semua ketawa apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarikan diri keluar dari dewan setelah dengan pantas menangguhkan sidang, sebaik sahaja Ahli Parlimen Kota Bharu selesai berkhutbah selama dua jam.
Datuk Takiyuddin Hassan berucap panjang, dalam rangka menyokong usul yang akhirnya dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Parti Islam Se-Malaysia, setelah dua kali ditangguhkan meski telah diberi laluan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
Tidak pula kita sangka bahawa meski telah dibentang pun, usulnya tetap tertangguh dan tidak diperbahaskan.
Pandikar memberi alasan bahawa adalah menjadi kuasanya untuk memutuskan supaya perbahasan ditangguhkan hingga ke sidang hadapan. Beliau menyebut bahawa beliau tidak mahu menjadi seorang ‘bloody fool’ atau ‘si bahlul’ yang tidak menggunakan kuasa yang ada. Meski malam sebelumnya entah si bahlul mana yang boleh sahaja membiarkan Dewan Rakyat bersidang sampai hampir subuh, dan ayam pun sudah bersedia mahu berkokok.
Tidak ada pula siapa-siapa yang sibuk menyebut tentang budi bicara atau kuasa untuk menangguhkan perbahasan sehingga hampir matahari terbit. Si bahlul mana, seperti yang disebut Pandikar, tidak membuat keputusan supaya semua orang balik tidur, tetapi membiarkan ahli-ahli Yang Berhormat keletihan, dan terpaksa berhadapan usul Hadi pada keesokan harinya.
Rancangan nakal
Adalah amat naif bagi kita sekiranya tidak menjangka bahawa usul Hadi akan dibentang pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, dan tidak akan dibahaskan untuk beberapa bulan, kecuali di parlimen kedai kopi dan parlimen kabinet dapur.
Memang sudah dirancang supaya Haji Hadi diberi laluan membentang usulnya. Ini dilakukan dengan menarik balik beberapa RUU kerajaan, supaya usul Hadi yang berada pada kedudukan 13 dalam Aturan Mesyuarat, melompat ke angka nombor satu; dengan tiada usul lain untuk dibincangkan.
Memang juga sudah dirancang supaya Haji Hadi membentang usulnya beberapa minit sahaja sebelum waktu makan tengahari, supaya media punya ruang dan masa untuk menyebarkan ke sejagat alam bahawa RUU355 telah berjaya dibentangkan oleh Presiden PAS terbabit.
Memang sengaja Speaker memberikan tempoh yang begitu panjang untuk Datuk Takiyuddin berkhutbah, meski beliau hanya menyokong usul Hadi sahaja.
Dan memang sengaja Speaker menangguhkan perbahasan, sambil bingkas disambut Menteri Undang-undang Datuk Azalina Othman yang kelihatan membaca skrip, meski dibantah oleh wakil-wakil Pakatan Harapan.
Ini semua dilakukan secara terancang dan diatur rapi, kerana ia adalah sebuah manuver politik yang sangat rumit, bagi menjamin kemenangan berterusan United Malays National Organisation sebagai parti pemerintah sepanjang zaman, menjelang pilihanraya yang bakal menjelang tiba.
Speaker sendiri mengesahkan bahawa usul Hadi diberi keutamaan atas permintaan kerajaan; dan ini pastinya bukan satu langkah yang diberi lampu hijau oleh Perdana Menteri sahaja. Seperti yang dilaporkan media, parti-parti komponen BN semuanya tahu belaka tentang perancangan tersebut. Meski tidak menyokong dan tidak bersetuju kerajaan mengambil alih usul Hadi, BN membiarkan ia dibentang dan kemudiannya ditangguh tanpa perbahasan.
Demikianlah caranya membeli sokongan akar umbi PAS yang selama ini diberitahu tentang usaha pimpinannya memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud, sehingga habis terbarai gabungan Pakatan Rakyat dan tersingkir semua pimpinannya yang disukai ramai; hanya demi survival politik segelintir dari PAS dan memanjangkan jangka hayat UMNO.
Ya ini bukan soal agama. Ini soal permainan politik dan kuasa.
UMNO akan memberitahu PAS, kalau ia mahu legasi politik RUU355 ini berjaya, ia mesti menjadi perosak kesatuan pembangkang dan memecahkan undi di kerusi-kerusi strategik, agar memberi kelebihan kepada UMNO, seperti yang terjadi apabila PAS sesuka hatinya meletakkan calon berhadapan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
PAS akan berkempen dengan modal muka Lim Kit Siang terpekik-pekik mengganggu pembentangan usul Hadi. ‘Nah inilah dia muka penentang Islam. Ini lah dia Cina tua gila kuasa yang mahu jadi Timbalan Perdana Menteri, dan menghancurkan kerajaan Melayu-Islam.’ Mungkin begitulah propaganda PAS kepada akar umbinya.
Parti-parti komponen BN akan pergi ke serata ceruk mendabik dada mereka telah melakukan apa termampu untuk menghalang RUU355, padahal tiada seorang pun yang menghalang Hadi, sedangkan merekalah yang melompat-lompat gembira apabila BN menolak pembentangan usul itu oleh pihak kerajaan.
Siapa menang?
Belum ada sesiapa yang menang sebenanrnya. Tidak kiralah siapa pun mahu dianggap wira, atau mahu menitis air mata.
Usul Hadi tidak dibahaskan. Dan ia tidak dibahaskan dengan sengaja, supaya ia boleh menjadi modal pilihanraya. Titik. Usul Hadi belum diterima ataupun ditolak Dewan. Usul Hadi juga bukan hudud seperti yang beriya beliau jual kepada akar umbinya. Usul Hadi adalah sekadar permainan politik untuk memujuk undi Melayu-Islam agar tanpa sedar memberikan talian hayat kepada UMNO, parti kleptokrat yang mentadbir negara dengan kaki.
Lihat sahaja segala skandal bodoh yang berpunca daripada UMNO, namun tidak diperangi PAS hanya kerana ia sedang mabuk asmara menanti hari persandingan di jenjang Dewan Rakyat, dengan mahar RUU355.
Adalah amat dangkal sekiranya kita tidak dapat melihat permainan jahat ini, apabila lidah rasmi UMNO pun sudah beriya-iya berkempen untuk PAS, di samping gemuruh tepukan meja menyokong Haji Hadi dari blok UMNO.
Demikian daulah yang dimahukan PAS dan UMNO. Daulah umat Melayu-Islam yang ‘biarlah rasuah, asalkan Melayu memerintah’. Daulah yang memaksakan Islamisasi ala-Hadi ke tenggorok rakyatnya yang berbilang kaum, malah ke tenggorok umat Islam yang tidak menerima tafsiran agama ala-Hadi. Dan mereka ini pula dilabel kafir, munafiq dan sebagainya.
Islam akhirnya ditafsirkan sebagai had hukum. Daripada 3 tahun penjara, denda RM5000 dan enam kali sebat; menjadi 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 kali sebat.
Entah lah bagaimana tafsiran begini difahami sebagai memperkasa mahkamah syariah. Kes cerai berai nafkah isteri dibiar tergantung pun masih melambak tidak selesai.
Ya mungkin begitulah semuanya berakhir. Dengan tidak selesai bahas, dan tangguh, tangguh, tangguh. 

Tuduh berunding dengan Amerika, DAPSY buat laporan polis terhadap Haji Hadi




IPOH, 16 APR: Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membuat tohmahan jahat ke atas DAP dalam satu ucapannya baru-baru ini.Laporan tersebut dibuat pada 13 April baru baru ini.
Laporan yang di buat di Balai Polis Sungai Senam itu adalah berhubung dakwaan Hadi Awang kononnya wujudnya rundingan antara DAP dan Amerika Syarikat (AS) untuk mencampuri politik Malaysia.
“Kenyataan yang dilakukan Hadi itu adalah pembohongan nyata dan tidak benar sama sekali.
“Tidak sangka Hadi Awang, seorang yang senior dalam politik dan dikenali sebagai pemimpin agama ditahap seperti ini dan melakukan pembohongan jelas semata-mata demi agenda politik menyelamatkan Najib,” katanya dalam kenyataan.
Adun Canning itu menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Marang tersebut secara langsung membuktikan PAS sudah menjadi agen kepada UMNO dengan menyebarkan pembohongan untuk menakutkan orang Melayu terhadap DAP.
“Kita (DAP) pernah bersama dalam gabungan politik dengan PAS dari tahun 2008 hingga 2015 dan PAS tahu bahawa kita amat lantang bersuara terhadap pentadbiran BN yang korup dan ia juga merupakan dasar bersama Pakatan Rakyat ketika itu,” ujar beliau.
Katanya, DAPSY dari beberapa negeri lain turut akan membuat laporan polis bermula esok dan berharap polis akan menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Hadi Awang.

KEDUDUKAN HISHAMMUDDIN KINI LEBIH TINGGI BERBANDING ZAHID HAMIDI?



Jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah suatu jawatan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan, sebaliknya perlantikan seseorang untuk memegangnya adalah atas budi bicara Yang Dipertuan Agong setelah mendapat cadangan daripada Perdana Menteri.

Kewujudan jawatan tersebut hanyalah berdasarkan konvensyen iaitu amalan yang telah diguna-pakai sekian lama sebelum ini untuk menjadi pembantu atau bagi meringankan beban tugas Perdana Menteri.

Secara praktikalnya juga , jawatan itu adalah sebagai persediaan yang memudahkan peralihan kuasa jika sesuatu berlaku kepada Perdana Menteri.

Meskipun demikian, oleh kerana kedudukan jawatan itu tidak termaktub dalam Perlembagaan, ia boleh ditiadakan atau dilantik lebih daripada seorang untuk mengisinya.

Ia terpulang kepada Perdana Menteri yang sedang berkuasa sama ada mahu melantik siapa, mengosongkannya begitu saja atau mengisinya lebih daripada satu.

Jika kita masih ingat, ketika Tun Abdullah Badawi mula-mula menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau membiarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu kosong untuk sekian lama sehingga menimbulkan keresahan kepada Najib Razak dan Tun Mahathir Mohamad juga dilaporkan turut melobi agar jawatan itu diberikan kepada Najib.

Dalam senario sekarang, Timbalan Perdana Menteri adalah Zahid Hamidi dan selain itu, beliau juga diberikan portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri.

Bermakna, Zahid Hamidi memegang satu jawatan atas ehsan Perdana Menteri atau secara konvensyen dan satu lagi yang termaktub dalam Perlembagaan.

Berbanding sepupu Najib, Hishammuddin Hussein, beliau adalah Menteri Pertahanan dan baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Kedua-dua jawatan yang disandang oleh Hishammuddin mempunyai kedudukan yang sah di sisi Perlembagaan.

Oleh itu, boss kami sebenarnya berada di kedudukan yang lebih tinggi berbanding Zahid Hamidi, kata seorang penyokong kuat Hishammudin ketika berbual-bual dengannya sambil menghirup kopi panas, petang tadi. (ShahbudinHusin 15/04/2017).

PENYOKONG PAS KATA SAYA KAFIR, EJEN YAHUDI, SAYA TAK TERKESAN – RAFIZI