Menjamin kejayaan UMNO-PAS dengan modal agama




Puas kita semua ketawa apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarikan diri keluar dari dewan setelah dengan pantas menangguhkan sidang, sebaik sahaja Ahli Parlimen Kota Bharu selesai berkhutbah selama dua jam.
Datuk Takiyuddin Hassan berucap panjang, dalam rangka menyokong usul yang akhirnya dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Parti Islam Se-Malaysia, setelah dua kali ditangguhkan meski telah diberi laluan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
Tidak pula kita sangka bahawa meski telah dibentang pun, usulnya tetap tertangguh dan tidak diperbahaskan.
Pandikar memberi alasan bahawa adalah menjadi kuasanya untuk memutuskan supaya perbahasan ditangguhkan hingga ke sidang hadapan. Beliau menyebut bahawa beliau tidak mahu menjadi seorang ‘bloody fool’ atau ‘si bahlul’ yang tidak menggunakan kuasa yang ada. Meski malam sebelumnya entah si bahlul mana yang boleh sahaja membiarkan Dewan Rakyat bersidang sampai hampir subuh, dan ayam pun sudah bersedia mahu berkokok.
Tidak ada pula siapa-siapa yang sibuk menyebut tentang budi bicara atau kuasa untuk menangguhkan perbahasan sehingga hampir matahari terbit. Si bahlul mana, seperti yang disebut Pandikar, tidak membuat keputusan supaya semua orang balik tidur, tetapi membiarkan ahli-ahli Yang Berhormat keletihan, dan terpaksa berhadapan usul Hadi pada keesokan harinya.
Rancangan nakal
Adalah amat naif bagi kita sekiranya tidak menjangka bahawa usul Hadi akan dibentang pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, dan tidak akan dibahaskan untuk beberapa bulan, kecuali di parlimen kedai kopi dan parlimen kabinet dapur.
Memang sudah dirancang supaya Haji Hadi diberi laluan membentang usulnya. Ini dilakukan dengan menarik balik beberapa RUU kerajaan, supaya usul Hadi yang berada pada kedudukan 13 dalam Aturan Mesyuarat, melompat ke angka nombor satu; dengan tiada usul lain untuk dibincangkan.
Memang juga sudah dirancang supaya Haji Hadi membentang usulnya beberapa minit sahaja sebelum waktu makan tengahari, supaya media punya ruang dan masa untuk menyebarkan ke sejagat alam bahawa RUU355 telah berjaya dibentangkan oleh Presiden PAS terbabit.
Memang sengaja Speaker memberikan tempoh yang begitu panjang untuk Datuk Takiyuddin berkhutbah, meski beliau hanya menyokong usul Hadi sahaja.
Dan memang sengaja Speaker menangguhkan perbahasan, sambil bingkas disambut Menteri Undang-undang Datuk Azalina Othman yang kelihatan membaca skrip, meski dibantah oleh wakil-wakil Pakatan Harapan.
Ini semua dilakukan secara terancang dan diatur rapi, kerana ia adalah sebuah manuver politik yang sangat rumit, bagi menjamin kemenangan berterusan United Malays National Organisation sebagai parti pemerintah sepanjang zaman, menjelang pilihanraya yang bakal menjelang tiba.
Speaker sendiri mengesahkan bahawa usul Hadi diberi keutamaan atas permintaan kerajaan; dan ini pastinya bukan satu langkah yang diberi lampu hijau oleh Perdana Menteri sahaja. Seperti yang dilaporkan media, parti-parti komponen BN semuanya tahu belaka tentang perancangan tersebut. Meski tidak menyokong dan tidak bersetuju kerajaan mengambil alih usul Hadi, BN membiarkan ia dibentang dan kemudiannya ditangguh tanpa perbahasan.
Demikianlah caranya membeli sokongan akar umbi PAS yang selama ini diberitahu tentang usaha pimpinannya memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud, sehingga habis terbarai gabungan Pakatan Rakyat dan tersingkir semua pimpinannya yang disukai ramai; hanya demi survival politik segelintir dari PAS dan memanjangkan jangka hayat UMNO.
Ya ini bukan soal agama. Ini soal permainan politik dan kuasa.
UMNO akan memberitahu PAS, kalau ia mahu legasi politik RUU355 ini berjaya, ia mesti menjadi perosak kesatuan pembangkang dan memecahkan undi di kerusi-kerusi strategik, agar memberi kelebihan kepada UMNO, seperti yang terjadi apabila PAS sesuka hatinya meletakkan calon berhadapan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
PAS akan berkempen dengan modal muka Lim Kit Siang terpekik-pekik mengganggu pembentangan usul Hadi. ‘Nah inilah dia muka penentang Islam. Ini lah dia Cina tua gila kuasa yang mahu jadi Timbalan Perdana Menteri, dan menghancurkan kerajaan Melayu-Islam.’ Mungkin begitulah propaganda PAS kepada akar umbinya.
Parti-parti komponen BN akan pergi ke serata ceruk mendabik dada mereka telah melakukan apa termampu untuk menghalang RUU355, padahal tiada seorang pun yang menghalang Hadi, sedangkan merekalah yang melompat-lompat gembira apabila BN menolak pembentangan usul itu oleh pihak kerajaan.
Siapa menang?
Belum ada sesiapa yang menang sebenanrnya. Tidak kiralah siapa pun mahu dianggap wira, atau mahu menitis air mata.
Usul Hadi tidak dibahaskan. Dan ia tidak dibahaskan dengan sengaja, supaya ia boleh menjadi modal pilihanraya. Titik. Usul Hadi belum diterima ataupun ditolak Dewan. Usul Hadi juga bukan hudud seperti yang beriya beliau jual kepada akar umbinya. Usul Hadi adalah sekadar permainan politik untuk memujuk undi Melayu-Islam agar tanpa sedar memberikan talian hayat kepada UMNO, parti kleptokrat yang mentadbir negara dengan kaki.
Lihat sahaja segala skandal bodoh yang berpunca daripada UMNO, namun tidak diperangi PAS hanya kerana ia sedang mabuk asmara menanti hari persandingan di jenjang Dewan Rakyat, dengan mahar RUU355.
Adalah amat dangkal sekiranya kita tidak dapat melihat permainan jahat ini, apabila lidah rasmi UMNO pun sudah beriya-iya berkempen untuk PAS, di samping gemuruh tepukan meja menyokong Haji Hadi dari blok UMNO.
Demikian daulah yang dimahukan PAS dan UMNO. Daulah umat Melayu-Islam yang ‘biarlah rasuah, asalkan Melayu memerintah’. Daulah yang memaksakan Islamisasi ala-Hadi ke tenggorok rakyatnya yang berbilang kaum, malah ke tenggorok umat Islam yang tidak menerima tafsiran agama ala-Hadi. Dan mereka ini pula dilabel kafir, munafiq dan sebagainya.
Islam akhirnya ditafsirkan sebagai had hukum. Daripada 3 tahun penjara, denda RM5000 dan enam kali sebat; menjadi 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 kali sebat.
Entah lah bagaimana tafsiran begini difahami sebagai memperkasa mahkamah syariah. Kes cerai berai nafkah isteri dibiar tergantung pun masih melambak tidak selesai.
Ya mungkin begitulah semuanya berakhir. Dengan tidak selesai bahas, dan tangguh, tangguh, tangguh.