Pahang berpotensi jatuh ke tangan PH
DAP Pahang yakin negeri itu berpotensi untuk diambilalih oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, PH Pahang mampu memberi saingan sengit kepada BN kerana sejak kebelakangan ini semakin banyak rakyat tampil ke depan dan memberitahu bahawa mereka bersedia melakukan perubahan.
Pada peringkat PH pula, menurutnya, gerak kerja semakin mantap dengan tertubuhkan jawatankuasa PH negeri yang mengkoordinasi gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Oleh kerana tarikh PRU sudah dekat, maka makin keraplah kami Pakatan Harapan Pahang mengadakan mesyuarat. Kita adakan mesyuarat yang mana wakil-wakil dari PKR, DAP, Amanah dan PPBM bertemu untuk merancang strategi serta membincangkan isu (kempen) terkini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas hal sama, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berpendapat, biar pun pengundi di pendalaman masih bergantung kepada BN untuk kemudahan asas dan menjadi deposit tetap parti pemerintah, namun PH masih mempunyai beberapa bulan untuk mengubah suasana dengan menggunakan pelbagai isu semasa seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta kenaikan harga minyak.
“Walaupun demikian, kami tidak ‘over-confident’ (kalahkan BN) kerana di Pahang ada ramai Orang Asal dan ada di antara mereka yang masih tidak mahu mengundi PH kerana tinggal di kawasan pendalaman dan amat bergantung kepada kemudahan-kemudahan yang dibekalkan oleh kerajaan pusat.
“Namun begitu, ada juga yang inginkan perubahan dan apa yang penting di sini ialah PH mesti menjadi rakan karib kepada Orang Asal dan jangan terlalu pentingkan undi. Sebab apabila kita sudah menjadi rakan karib mereka, Orang Asal ini akan ingat kepada PH apabila tiba masa mengundi,” jelasnya yang telah menyusun banyak aktiviti dengan Orang Asal seperti aktiviti sukan dan sebagainya.
Manogaran juga turut berjumpa dengan Orang Asal pada setiap hujung minggu dan menghadiri upacara majilis perkahwinan masyarakat itu.
Bagaimanapun, kedua-dua Tengku Zulpuri dan Manogaran bersetuju pengundi di bandar akan berpihak kepada PH pada PRU 14.
Menurut mereka, strategi PH sekarang adalah memberi tumpuan kepada kawasan kampung dan pendalaman sebelum bulan April 2018 di mana PRU14 dijangka mengambil tempat.
“PH tidak boleh rehat sekarang, mesti bertungkus-lumus memenangi hati rakyat sebab undi dari rakyat bawahan akan banyak membantu, terutamanya di kawasan-kawasan yang banyak undi pos dan undi awal,” kata Manogaran lagi.