Kenapa hanya siasat TMI, media pro-BN bagaimana? – LGE
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak tidak seharusnya menyalahgunakan kuasanya untuk menyiasat portal berita The Malaysian Insight (TMI) kerana didakwa menghina perdana menteri.
“Kenapa tidak ada siasatan yang dilakukan terhadap media kawalan BN seperti New Straits Times, Berita Harian, The Star dan Utusan Malaysia apabila mereka kalah dalam fitnah di mahkamah, bayar pampasan, mohon maaf dan telah menarik balik “laporan palsu” mereka terhadap saya?” soalnya.
Katanya, amalan dwistandard tersebut perlu dihentikan sambil menambah disebabkan itu pembaca lebih berminat kepada media yang lebih bebas seperti Malaysiakini, Free Malaysia Today dan The Malaysian Insight.
Sementara itu Lim berkata pihak berkuasa juga bersikap pilih kasih dalam tindakannya apabila membabitkan pemimpin pembangkang.
“Jika menghina pemimpin BN seperti perdana menteri adalah satu kesalahan, bagaimana pula ancaman yang dilakukan terhadap ketua menteri Pulau Pinang atau mereka yang menghina menteri besar Selangor dan bekas perdana menteri?
“Saya bukan saja dihina tetapi juga diugut dan telah membuat laporan polis namun tiada tindakan diambil,” kata Lim dalam kenyataan media hari ini.
Salleh baru-baru ini mengesahkan TMI sedang disiasat selepas perwakilan Umno Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham membuat gesaan tersebut semasa ucapannya di perhimpunan agung parti itu Sabtu lalu.
Mohd Nashrol mendakwa TMI menghina perdana menteri tetapi tidak menjelaskan mengenai bentuk penghinaan tersebut.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam memanggil eksekutif TMI untuk disoal siasat.
Portal itu berkata siasatan membabitkan rencana lidah pengarangnya berhubung siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai kerugian urusniaga tukaran wang asing melibatkan Bank Negara pada tahun 1990-an.