BN benar harga minyak naik, PH akan turunkan ke RM1.50 seliter
Retorik BN kononnya kerajaan tidak mempunyai kuasa mengawal harga minyak dikesali Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
ADUN Mentakab itu berkata, kerajaan BN boleh melakukan semua perkara untuk menurunkan harga minyak tetapi mereka membiarkannya naik.
“Apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan BN untuk menurunkan harga minyak yang pada masa ini sudah amat membebankan rakyat?
“Adakah subsidi minyak akan dikembalikan?” tanyanya.
Tengku Zulpuri menegaskan kerajaan tidak mempunyai dasar yang jelas untuk menangani peningkatan kos sara hidup. Formula yang dikemukakan hanyalah meningkatkan kadar BR1M yang disebut di Parlimen secara ‘sekali imbas’.
“Ini berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang telah berjanji akan menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 ke bawah.
“Sudah jelas situasi ekonomi dan kewangan negara sedang berada pada tahap yang lemah. Walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.2%, ia tidak mempunyai makna untuk rakyat marhaen yang sedang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi.
“Sebenarnya, para pemimpin negara kita tiada hala tuju yang jelas dan hidup rakyat semakin susah kerana harga barang semakin meningkat sementara pemimpin-pemimpin negara beretorik kosong untuk memenangi hati rakyat,” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Oleh itu, Tengku Zulpuri menggesa PM Najib Razak supaya mengembalikan subsidi minyak serta-merta dan mengambil langkah konkrit menangani kelemahan nilai ringgit.
“Seruan kerajaan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk meningkatkan produktiviti tidak cukup untuk memberi suntikan kepada pasaran yang masih lembab sebab pada masa ini, rakyat sedang menghadapi kekangan kewangan.
“Situasi kewangan rakyat mesti diperbaiki terlebih dahulu sebelum negara boleh mengorak langkah ke hadapan,” tambah Naib Pengerusi DAP Pahang itu.