PRU 14: DAP yakin PH dapat 50% undi kaum Melayu
Dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 lalu undi popular daripada kaum Melayu kepada Pakatan Rakyat sekitar 40% – 42% sahaja menyebabkan pembangkang gagal menawan Putrajaya. Namun hari ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) yakin kaum Melayu akan ‘swing’ kepada pembangkang berikutan kegagalan polisi ekonomi dan sosial PM Najib Razak.
Menurut Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, PRU14 akan membawa kejayaan besar kepada PH di kawasan-kawasan Melayu. BN pula, katanya, semakin kehabisan modal untuk memujuk kelompok pengundi terbesar di Malaysia itu.
“Sekarang PM Najib amat sibuk untuk memenangi hati orang Melayu sebab beliau tahu mereka marah kerana kos sara hidup tinggi.
“Pengundi Melayu juga ramai tanya saya apa sudah jadi kepada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang cawangannya ditutup. Ini adalah satu petanda buruk. Adakah kerajaan sedang menghadapi masalah kewangan yang teruk?” tanya Tengku Zulpuri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu memberitahu, tinjauan yang dilakukan di seluruh Semenanjung menunjukkan keputusan yang positif untuk PH. Berdasarkan kepada keputusan tersebut, katanya, PH boleh memenangi banyak kerusi parlimen dan DUN di kawasan-kawasan Melayu yang sukar ditembusi sebelum ini.
“Kami jangka PH boleh memperolehi 50% undi dari masyarakat Melayu. Ini adalah penting kerana dalam pilihan raya umum yang lalu, sokongan Melayu untuk Pakatan hanya 40%.
“Sokongan Melayu adalah faktor yang akan menentukan nasib dan masa depan Malaysia. Kalau ekonomi negara merosot teruk tahun hadapan, maka PRU14 mungkin akan diadakan tahun ini ketika masyarakat Melayu belum lagi sedar perihal ekonomi semasa,” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Tengku Zulpuri meminta agar PM Najib tidak menunggu lebih lama untuk “mendapat berita baik ekonomi” kerana pada tahun ini pun ramai pelabur asing dan tempatan sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan, termasuk pelabur-pelabur yang dulunya menyokong pentadbiran BN.
“Justeru itu, PH sudah bersedia untuk menghadapi PRU14 kalau ia diadakan pada bulan ini pun.
“Terdapat banyak tanda bahawa negara kita sedang mengalami situasi ekonomi yang terlalu membimbangkan. Dana untuk kementerian kesihatan dan kementerian pendidikan, dua sektor yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat telah dikurangkan. Apakah makna pemotongan itu?
“Matawang kita juga masih lemah dan Bursa Saham Kuala Lumpur yang diramalkan akan naik selepas lawatan PM Najib ke Amerika Syarikat dan Great Britain pun kekal lemah,” katanya lagi.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu juga berpendapat jika PM Najib menunggu sehingga tahun 2018, keadaan akan menjadi bertambah buruk. Walaupun menghadapi dilema, Najib perlu berani memanggil pilihan raya umum sekiranya tidak mahu melihat ketidaktentuan dalam iklim pelaburan dan ekonomi negara.