PH lebih berpotensi walau kajian kata BN menang besar – Tengku Zulpuri
Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mempersoalkan sebahagian kajian dan tinjauan sokongan yang mendakwa BN akan menang besar dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Katanya, kajian serupa itu tidak sewajarnya melemahkan semangat penyokong Pakatan Harapan (PH) kerana sebahagiannya diragui dilakukan oleh institusi bebas.
“Pada masa sekarang, saya mendapati ada banyak kajian yang menunjukkan BN akan menang besar dalam PRU14 nanti. Adakah tujuan kajian-kajian tersebut untuk melemahkan semangat pejuang Pakatan Harapan (PH)?” tanyanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu berkata, realitinya sokongan kepada PH di Semenanjung amat menggalakkan malah dalam kalangan orang Melayu.
Beliau juga menjelaskan situasi di peringkat akar umbi di Pahang juga tidaklah seteruk yang digambarkan biar pun Pas akan bertanding tiga penjuru menghadapi PH dan BN.
Menurut Tengku Zulpuri, secara kasar BN disokong oleh 40% pengundi, begitu juga PH. Tinggal 20% pengundi atas pagar yang belum lagi membuat keputusan untuk berpihak kepada siapa.
“Oleh itu, jika PH boleh meraih sokongan sekurang-kurangnya 12% dari 20% ini, maka kita berpeluang untuk memenangi negeri Pahang,” katanya yang menegaskan walaupun kos sara hidup tinggi tidak memberi kesan yang begitu teruk kepada penduduk di luar bandar namun jika harga minyak dan barang keperluan asas terus meningkat pada tahun hadapan maka pengundi luar bandar juga mungkin tidak akan menyokong BN.
Oleh itu, Tengku Zulpuri menggesa agar PH melipat gandakan kempen penerangan terutama ke atas masyarakat Melayu, meyakinkan masa depan mereka akan terjamin dengan dasar-dasar PH dan hak-hak kaum Melayu akan dijaga dengan baik.
“PH mesti mengadakan lebih ceramah untuk menyampaikan mesej kepada pengundi Melayu kerana sudah jelas pengundi Melayu akan menentukan nasib rakyat Malaysia.
“Pandangan saya ialah masyarakat Cina sudah membuat keputusan untuk bersama PH dan lebih 55% masyarakat India pun begitu juga.
“Justeru itu, masyarakat Melayulah yang akan menjadi penentu. Pengundi Melayu mesti diberitahu, kalau PH menang Pahang dan Terengganu maka Menteri Besar di negeri-negeri ini adalah orang Melayu juga.
“Inilah yang mesti ditekankan kepada pengundi Melayu supaya mereka ubah sokongan dari BN kepada Pakatan,” ujar Tengku Zulpuri kepada Suara pakatan daily.