Fastaqim gagal tunjukkan kekuatan Pas Terengganu
Bagi Pas Pusat himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu pada 29 dan 30 September lalu yang menghimpunkan puluhan ribu penyokong adalah bukti parti itu kuat menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Namun bagi ahli Pas Terengganu sendiri, himpunan itu tidak menunjukkan kekuatan sebenar Pas negeri itu yang masih belum kebah daripada demam perpecahan 2015.
Seorang ahli veteran Pas berkata, himpunan tersebut banyak mengimport peserta dari luar, sedangkan panyokong tempatan ‘biasa-biasa’ sahaja sambutan mereka.
“Ramai ‘melaut’ (kehadiran) sebab kerahan seluruh negara, himpunan ini tak sama dengan kekuatan Pas Terengganu yang hakiki
“Orang luar yang banyak datang, yang local biasa saja,” katanya dengan syarat tidak disiarkan nama.
Satu lagi, menurut beliau, adalah gimik Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Tantawi yang membayangkan terdapat beberapa tokoh besar politik tanah air akan menyertai Pas dalam acara itu, dalam sidang media sebelum Fastaqim.
“Satu lagi Tantawi kata ada kejutan tokoh besar masuk Pas tapi hampeh tak ada
“(Faktanya) yang banyak datang kali ini pun bukan pengundi berdaftar, tapi anak muda,” ujar beliau meluahkan rasa.
Sehubungan itu, veretan Pas tersebut mengandaikan pengaruh Pas tidak bertambah selepas Fastaqim melainkan masih di belakang Umno BN menuju PRU 14.
“Pas masih 50-50 kedudukannya dengan BN di Terengganu
“15 kerusi Pas harus menurun hingga jadi 10 saja dalam PRU ini. Itu pun mungkin Pas terpaksa kukuhkannya dengan cara ugut melalui agama, dosa dan pahala,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, himpunan ala Fastaqim telah dilakukan Pas Kedah, di Stadium Darul Aman menjelang PRU 13 lalu. Kehadiran mencecah 100,000 namun keputusan PRU, Umno berkuasa di negeri itu.
Seperti kata bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, himpunan besar tidak memberi kemenangan kalau Pas tidak bergabung dengan parti-parti pembangkang yang lain.
Pas tidak boleh hidup dan menguasai negeri hanya melalui undi kaum Melayu sahaja.