Ulang tahun pertama Bersatu: Johor, Kedah, Selangor keahlian tinggi
Negeri Johor, Kedah dan Selangor mempunyai keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) paling tinggi berbanding negeri lain, dedah Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Walaupun tidak dinyatakan angka sebenar, beliau berkata, negeri Johor menjadi antara negeri dengan jumlah keahlian paling tinggi antara sebab negeri itu dipilih untuk meraikan ulang tahun pertama penubuhan Bersatu yang akan diadakan pada esok 9 September 2017.
“Johor mempunyai keahlian sangat ramai dan di negeri ini PH diketuai Presiden PPBM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi kita rasakan negeri ini sangat sesuai untuk tujuan tersebut( sambutan) diadakan.
“Sebelum ini kita telah adapan pelancaran PPBM di Shah Alam jadi kita rasakan sesuai sekiranya kali ni, negeri Johor dipilih bagi sambutan ulang tahun pertama sekaligus melancarkan gerak kerja kita di negeri ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan hari ini.
Dijadualkan sambutan ulangtahun pertama Bersatu akan diadakan di Dewan Y Square Connexion, Jalan Bakri, Muar bermula jam 11 pagi hingga 11 malam.
Menurut Mukhriz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan berkata,pelbagai acara telah diatur sepanjang hari membabitkan masyarakat setempat di sekitar Muar.
Selain penyerahan anugerah 3 bahagian parti yang mempunyai penambahan keahlian terbanyak diberikan penghargaan dan pelancaran rasmi sayap Srikandi dan Armada.
Turut dijemput pimpinan parti gabungan dalam Pakatan Harapan seperti Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dua Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dan rakan-rakan parti dalam gabungan di negeri-negeri.
“Kita menjangkakan kehadiran 10,000 dalam sambutan ulang tahun PPBM ini.
“Walaupun Umno-BN menganggap Johor kubu kuat mereka, PH nak tunjukkan satu sambutan yang sangat meriah dengan kehadiran luar biasa yang akan memberi gambaran mengenai tahap sokongan yang kami terima di johor,” ujarnya.
Dijangkakan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir menyampaikan amanatnya sempena sambutan pertama parti itu esok.